Kerapkali kita terdengar atau terbaca tentang janji penjual-penjual produk-produk kesihatan termasuk ubat-ubatan yang menyatakan produk jualan mereka adalah produk yang tidak akan mendatankan kesan sampingan kepada pengguna. Mereka dengan bangganya membandingkan produk mereka dengan ubat-ubatan moden yang kata mereka akan mendatangkan kesan yang buruk kepada pengguna. Pernahkah kita terfikir, adakah semua produk yang mereka jual yang dikatakan bersumberkan bahan-bahan natural alam semulajadi benar-benar tidak akan mendatangkan apa-apa kesan sampingan kepada pengguna?
Untuk memahami perkara ini, pertamanya kita perlu tahu apa maksud sebenar untuk ‘ubat’. Ubat merupakan apa apa bahan yang digunakan untuk merawat, mencegah dan juga mendiagnos penyakit. Sesuatu ubat, apabila dimasukkan ke dalam badan, ia akan memberikan tindakbalas yang akan mendatangkan perubahan fisiologi kepada tubuh manusia. Tahukah anda bahawa tidak semua ubat dicipta di makmal, malah banyak dari ubatan yang digunakan dalam rawatan moden berasal dari sumber semulajadi?
Bahan-bahan dari alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan telah digunakan sejak ribuan tahun yang lampau untuk tujuan perubatan. Kepentingan bahan-bahan ini dalam perkembangan perubatan moden tidak dapat dinafikan. Semenjak tahun1980 hingga 2000, 28% dari ubat-ubatan yang baru dijumpai dan didaftarkan di pasaran dunia adalah berasal dari alam semulajadi. Selain itu, di kalangan ubatan yang baru didaftarkan tersebut, 24% adalah bahan kimia sintetik yang dihasilkan dengan meniru struktur kimia dari sumber alam semulajadi. Oleh yang demikian, kita tidak dapat nafikan terdapat banyak ubatan moden di pasaran yang berasaskan ataupun berasal dari tumbuh-tumbuhan dan sumber alam semulajadi.
Adalah sesuatu yang tidak tepat sekiranya kita menyatakan semua ubat-ubatan yang dijual di farmasi dan digunapakai di hospital adalah berbeza dengan ubatan natural dari alam semulajadi. Ini kerana pada asalnya banyak dari ubatan tersebut berasal dari alam semulajadi.
Sebagai contoh, ubat aspirin yang digunapakai untuk rawatan strok di hospital adalah berasal dari pokok willow. Ekstrak dari pokok willow ini telah digunakan sejak ratusan tahun yang lampau. Ia pada asalnya digunakan untuk merawat kesakitan dan inflamasi akibat kecederaan. Selari dengan perkembangan teknologi dan perubatan, bahan tersebut telah diuji dengan terperinci sehinggakan para pengkaji dapat mengetahui cara penggunaan ubat tersebut dengan selamat dan mengurangkan kesan sampingan yang disebabkan oleh aspirin.
Bawang putih yang sering digunakan secara tradisional untuk tujuan kesihatan diketahui boleh mendatangkan masalah gastrointestinal dan juga meningkatkan risiko pendarahan. Bunga chamomile telah dilaporkan menyebabkan beberapa kes alergi yang serius. Ginkgo biloba berisiko mendatangkan rasa loya, muntah, pening dan pendarahan kepada pengguna. Berdasarkan pada contoh-contoh tersebut, kita tidak dapat menafikan bahawa penggunaan produk natural berasaskan dari sumber alam semulajadi juga boleh mendatangkan kesan sampingan sepertimana ubat-ubatan moden.
Risiko kesan sampingan produk-produk tersebut akan menjadi lebih tinggi sekiranya ia diproses dan dijadikan dalam bentuk kapsul atau tablet dengan tidak mengikuti standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kontaminasi bahan kimia lain yang lebih berbahaya mudah untuk berlaku sekiranya proses tersebut dilakukan oleh pengilang atau penjual yang tidak berkelayakan. Oleh itu adalah penting bagi kita memastikan ubatan yang dibeli mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun produk berkenaan dikatakan 100% dari sumber natural.
Akibat salah faham kita berkaitan keselamatan ubat-ubatan dari sumber semulajadi, ia boleh mendatangkan mudarat yang lebih teruk kepada ibu-ibu yang sedang hamil dan sedang menyusukan bayi. Kebanyakan dari produk-produk ini tidak mempunyai kajian tentang kesan penggunannya kepada kandungan dan bayi yang menyusu. Risiko yang bakal dihadapi kemungkinan lebih tinggi dari kesan kesihatan yang diharapkan.
Oleh yang demikian kita perlu bijak memilih produk kesihatan dan ubat-ubatan yang kita gunakan. Produk yang dikatakan natural tidak bermaksud ia tidak mempunyai kesan sampingan. Yang penting, ubat yang telah didaftarkan dan dijual dengan saluran yang betul telah dikaji kesusaian dos dan keselamatannya untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan. Kita perlu lebih bersikap kritis dan tidak terpedaya dengan iklan iklan dan penjual yang cuma ingin melariskan jualan mereka.