Viral di laman facebook tentang perkongsian seorang ibu yang berkongsi tentang cara-cara beliau menyediakan ubat batuk yang dihasilkan dari campuran buah nanas dan madu. Campuran tersebut kemudiannya diberikan kepada anak kecil beliau. Perkongsian beliau telah disebarkan oleh ramai yang inginkan pilihan ubat batuk yang ‘bebas dari bahan kimia’ dan ‘selamat’. Namun begitu, apakah ia benar-benar selamat digunakan untuk semua terutamanya kanak-kanak atau bayi yang masih kecil?

Artikel yang dikongsi dikatakan merujuk kepada laporan satu laman web berbahasa Inggeris. Laman web tersebut memetik laporan dari satu kajian pada tahun 2010. Walaubagaimanapun, kajian tersebut bukan membincangkan penggunaan nanas untuk meredakan batuk tetapi penggunaan bahan alternatif untuk membantu merawat penyakit tuberkulosis.

Artikel yang sama juga cuba merujuk kepada satu kajian lain yang tidak dinyatakan sumbernya mengenai keberkesanan nanas adalah 4.8 kali lebih baik untuk mengubati batuk berbanding ubat batuk. Namun begitu, pernyataan ini tidak dapat disahkan kerana tiada kajian yang dapat dirujuk dan pencarian penulis tentang kajian ini tidak mendatangkan sebarang sumber yang boleh dipercayai.

Masyarakat perlu lebih kritikal dalam menilai sesuatu maklumat terutamanya berkaitan kesihatan yang disebarkan di laman web atau laman sosial. Ini kerana sesuatu maklumat berkaitan rawatan penyakit perlulah mencapai tahap pembuktian yang sahih sebelum boleh disarankan sebagai satu sumber rawatan.

Walaupun apa yang dicadangkan di dalam artikel yang disebarkan itu hanyalah penggunaan buah nanas yang biasa kita makan, namun penggunaannya sebagai rawatan batuk terutamanya kepada anak kecil dan bayi berkemungkinan mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Nanas mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi yang baik untuk kesihatan. Walaubagaimanapun, nanas juga mengandungi kandungan enzim yang dinamakan bromelain. Enzim ini berupaya untuk meleraikan protein dan boleh digunakan untuk memerap dan melembutkan daging.

Bromelain juga dikaitkan dengan pertambahan masa untuk darah membeku kerana ia mengganggu proses pembekuan darah di dalam badan. Ia juga boleh meningkatkan rembesan prostaglandin yang boleh mempengaruhi proses fisiologi lain seperti penyembuhan luka.

Untuk sesuatu bahan termasuk bahan dari tumbuh-tumbuhan ingin dijadikan sebagai ubat, kita perlu faham tentang kesan sampingan, dos yang sesuai, cara bertindak, risiko kontaminasi, kesesuaian mengikut umur dan berbagai lagi faktor lain. Ini untuk memastikan bahan tersebut tidak mendatangkan mudarat sekiranya diberikan kepada golongoan tertentu seperti bayi dan mereka yang berpenyakit kronik.

Oleh yang demikian, saranan artikel yang tersebar tentang cara menyediakan ubat batuk menggunakan nanas didapati tidak berlandaskan kajian saintifik sebenar dan berisiko untuk memudaratkan sekiranya diberikan kepada bayi dan anak kecil. Oleh itu, elakkan dari memberi sediaan berkenaan kepada anak kecil dan bayi anda.

Dengan tidak menolak kemungkinan penggunaan nanas untuk meredakan batuk dapat dibuktikan dengan kajian saintifik pada masa akan datang, kami menyaran masyarakat agar cuma menggunakan informasi yang sahih pada masa ini untuk merawat penyakit terutamanya bagi kanak-kanak.