Perkara ini telah berlegar lama di internet dan baru-baru ini ia telah muncul semula di newsfeed saya. Ada pihak yang menyebarkan bahawa minuman Red Bull mengandungi semen lembu sebagai salah satu kandungan dalam minuman tersebut. Walaupun agak pelik, namun penyebarannya dengan disertakan gambar dan nama saintifik kandungan bahan tersebut dapat meyakinkan ramai.
Kandungan yang dikatakan semen lembu adalah bahan yang dinamakan ‘Taurine’. Ironinya perkataan taurine dikatakan mempunyai kaitan dengan perkataan latin ’taur’ yang membawa maksud lembu. Ini kerana bahan ini pada asalnya diekstrak dari hempedu lembu. Mungkin inilah sebabnya mengapa mitos ini menjadi lebih mudah dipercayai.
Taurine sebenarnya merupakan bahan asid organik yang banyak terdapat di dalam tubuh haiwan atau manusia. Ia boleh dikesan pada usus, tisu, susu, daging, ikan dan juga semen sesetengah haiwan. Banyak kajian telah dijalankan yang menunjukkan Taurine berkemungkinan memberikan kesan baik pada sistem kardiovaskular, meningkatkan stamina, meningkatkan keupayaan berfikir dan lain-lain. Namun begitu kajian-kajian ini masih berkembang dan satu konklusi tepat mengenai peranan taurine masih belum dapat dijana.
Adakah Taurine dalam minuman Red Bull dihasilkan dari semen lembu?
Taurine yang digunakan dalam industri makanan dan minuman dihasilkan secara sintetik di makmal. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh laman web pengeluar minuman Red Bull seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Penggunaan bahan sintetik adalah satu perkara yang normal kerana penghasilan bahan di makmal dapat dihasilkan dalam skala yang besar dengan lebih mudah.
Taurine boleh dihasilkan melalui reaksi kimia antara ethylene oxide dan sodium bisulfite yang akan menghasilkan asid isethionic. Selain itu, ia juga boleh dihasilkan melalui reaksi antara aziridine dan asid sulfurous. Penghasilan seperti ini jauh lebih logik dari memproses taurine daripada semen lembu.
Selain digunakan di dalam minuman penambah tenaga, Taurine juga digunakan sebagai supplemen dan dijual sebagai produk farmaseutikal. Terdapat puluhan jenis produk di dalam pasaran namun tiada satu pun menggunakan Taurine yang diekstrak dari haiwan.
Bagaimana dengan gambar proses pengumpulan semen lembu seperti yang diviralkan?
Setelah saya jalankan carian menggunakan imej, saya menjumpai satu laman web yang saya yakin merupakan sumber asal gambar tersebut.
http://piximus.net/others/at-the-bull-sperm-bank
Gambar tersebut adalah gambar di satu pusat pembiakan baka lembu di Austria. Sperma baka lembu terbaik dikumulkan untuk disenyawakan dengan lembu betina bagi menghasilkan lembu-lembu dengan baka yang bermutu.
Sebagai kesimpulannya, kandungan semen lembu di dalam minuman tenaga tersebut adalah mitos semata-mata. Namun ini tidak bermaksud kami menyokong pengambilan apa-apa jenis minuman tenaga secara total. Ini kerana kebanyakan minuman di dalam pek mengandungi kandungan gula yang tinggi selain bahan-bahan lain seperti kafein yang mungkin tidak sesuai diminum oleh semua orang.
Rujukan:
- Taurine synthesis and cysteine metabolism in cultured rat astrocytes: effects of hyperosmotic exposure. Joel W. Beetsch, James E. Olson. American Journal of Physiology (1998)
- Synthesis of taurine. O. M. Bondareva D. V. LopatikZ. I. KuvaevaL. G. VinokurovaM. M. MarkovichI. P. Prokopovich. Pharmaceutical Chemistry Journal (2008)
- Nutrition Supplements to Stimulate Lipolysis: A Review in Relation to Endurance Exercise Capacity. Kim J, Park J, Lim K. J Nutr Sci Vitaminol (2016)
- Energy Drinks and Their Impact on the Cardiovascular System: Potential Mechanisms. Grasser et. al. Adv. Nutr. (2016)
- http://energydrink.redbull.com/is-taurine-made-from-bulls-testicles