Kami percaya anda pernah terbaca artikel dan laporan akhbar yang mengatakan menghindu kentut dapat meningkatkan kesihatan anda. Artikel tersebut telah ditulis berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh sekumpulan saintis di Universiti Exeter di England.
(Contoh laporan: http://www.ohmymedia.tv/…/kentut-yang-busuk-adalah-baik-un…/)
Antara ‘rumusan-rumusan’ yang ditulis oleh beberapa blog dan media adalah seperti berikut:
“Menurut satu kajian, menghidu kentut orang lain akan membuatkan peluang anda untuk hidup lebih lama adalah tinggi”
“Gas hidrogen sulfida dalam kentut boleh menjadi faktor utama merawat penyakit”
Adakah ini bermaksud anda digalakkan untuk mencium bau ‘harum’ kentut rakan-rakan atau pasangan anda?
SABAR DULU!
Jangan terlalu teruja.
Benarkah kajian tersebut mengkaji tentang kesan baik kentut terhadap kesihatan manusia? Untuk mengetahuinya, kita perlu merujuk kepada artikel asal kajian tersebut yang telah diterbitkan di dalam Jurnal Medicinal Chemical Communications.
Tajuk kajian tersebut adalah “The synthesis and functional evaluation of a mitochondria-targeted hydrogen sulfide donor, (10-oxo-10-(4-(3-thioxo-3H-1,2-dithiol-5-yl)phenoxy)decyl)triphenylphosphonium bromide (AP39)”.
Hmmm.. ada sesiapa yang faham?
Kajian tersebut sebenarnya menyatakan AP39 (bahan yang dikaji) akan meningkatkan penghasilan hidrogen sulfida oleh sel-sel yang tidak sihat. Hidrogen sulfida pada kadar yang rendah akan memelihara mitokondria sel dan mengurangkan risiko sel dari terus rosak.
Apa yang dimaksudkan ialah saintis telah menjumpai satu bahan yang boleh meningkatkan penghasilan hidrogen sulfida dalam sel. Sangat berbeza kan dengan tajuk yang diviralkan di media?
Tiada satu ayat pun yang menyatakan kentut dapat membuatkan kita sihat.
Mungkin media cuba mensensasikan tajuk tersebut melalui wawancara dengan salah seorang saintis yang terlibat dengan kajian tersebut. Dalam temubual tersebut beliau menyatakan ‘walaupun hidrogen sulfida terkenal sebagai gas yang berbau busuk dalam telur dan kentut, ia juga dihasilkan secara semulajadi di dalam badan dan berpotensi menjadi sumber terapi bagi beberapa jenis penyakit’.
Ayat tersebut TIDAK BERMAKSUD sama dengan KENTUT BUSUK BERMANFAAT UNTUK KESIHATAN.
Oleh itu kami di M3 ingin menasihatkan anda supaya tidak terburu-buru menghidu gas-gas yang dilepaskan di sekitar anda. Kami juga ingin menegaskan tentang kepentingan membaca keseluruhan sesuatu laporan dan bukan sekadar membaca tajuknya sahaja.
Fahmi Hassan (F. H. Abad)
Ahli Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia
Rujukan:
Sophie Le Trionnaire et al. The synthesis and functional evaluation of a mitochondria-targeted hydrogen sulfide donor, (10-oxo-10-(4-(3-thioxo-3H-1,2-dithiol-5-yl)phenoxy)decyl)triphenylphosphonium bromide (AP39). Med. Chem. Commun., 2014,5, 728-736
Sumber gambar: Getty Images