Penjualan ubat-ubatan terkawal di atas tallan merupakan satu masalah yang amat serius. Ubat-ubatan terkawal atau tidak berdaftar yang dijual boleh membawa masalah yang serius kepada pengguna. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil tindakan ke atas hampir 250 laman web dan 200 akaun sosial peribadi yang digunakan untuk menjual ubatan di atas talian.
Isotretinoin merupakan sejenis ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan penyakit jerawat yang serius. Ubat ini merupakan ubat yang hanya boleh diperolehi dari klinik, atau dari farmasi dengan preskipsi dari doktor. Walaubagaimanapun, akibat dari ketaksuban sebahagian rakyat Malaysia untuk mendapatkan kulit yang cantik, sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjual isotretonoin secara atas talian. Banyak laman web dan akaun sosial yang mengiklankan penjualan produk ini secara berleluasa.
Isotretinoin merupakan sejenis bahan yang berkait rapat dengan vitamin A (retinoid). Ia merawat jerawat dengan mengurangkan produksi sebum atau minyak di permukaan kulit. Selain itu ia juga mengurangkan produksi keratin yang menyebabkan permukaan kulit menjadi kasar.
Penggunaan Isotretinoin sering memberikan kesan-kesan sampingan dan komplikasi seperti berikut:
- Kekeringan kulit termasuk bibir dan mata
- Jangkitan kulit sekiranya kulit kering dan luka
- Pendarahan dari hidung akibat dari kekeringan
- Kulit menjadi sensitif terhadap cahaya matahari
- Sakit sendi dan otot
- Gangguan penglihatan
- Kecacatan janin yang boleh mengabitkan keguguran atau malformasi kepada bayi yang dilahirkan
Akibat dari kesan-kesan sampingan yang serius, penggunaan ubat ini perlulah diawasi oleh doktor yang bertauliah. Dos yang digunakan perlulah sesuai dengan individu yang dirawat mengikut berat badan, keseriusan penyakit, kesan sampingan yang dihadapi dan juga respon terhadap rawatan. Adalah mustahil perkara seperti ini dapat dilakukan oleh penjual-penjual tidak bertauliah yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata. KESELAMATAN ANDA BUKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA.
Perkara yang paling dikhuatiri adalah kecacatan janin yang mungkin berlaku sekiranya pengguna hamil sewaktu rawatan. Terdapat beberapa laporan keguguran janin yang dihadapi akibat dari pengambilan Isotretinoin tanpa pengawasan doktor. Perkara ini amat menyedihkan kerana kecantikan sepatutnya tidak didahulukan berbanding keselamatan diri dan bayi.
Pengguna Isotretinoin akan diberikan nasihat oleh doktor atau ahli farmasi sebelum rawatan diberikan. Teknik kontrasepsi perlu diaplikasi sekurang-kurangnya sebulan sebelum rawatan diberikan. Alat kontaseptif berbentuk penghalang fizikal (kondom) perlu diaplikasi beserta dengan satu lagi cara kontrasepsi yang lain (pil perancang dan sebagainya). Ini bagi mengurangkan risiko kehamilan berlaku semasa rawatan.
Selain itu, rawatan cuma akan dimulakan setelah keputusan ujian kehamilan negatif. Ujian ini akan diulang secara berkala sepanjang rawatan. Sekiranya kehamilan berlaku, rawatan akan dihentikan serta merta dan perkembangan janin akan diperiksa oleh doktor. Teknik kontrasepsi juga perlu diteruskan sekurang-kurangnya sebulan setelah rawatan tamat.
Isotretinoin juga boleh dijumpai di dalam sperma lelaki yang mengambil ubatan tersebut. Oleh sebab itu, langkah bijak perlu diambil untuk memakai kondom sewaktu melakukan hubungan seks walaupun belum ada bukti ia akan menyebabkan malformasi kepada janin sekiranya kehamilan berlaku.
Percayalah, informasi-informasi serta pemantauan serapi ini tidak akan dapat diberikan oleh penjual-penjual (penipu) di atas talian. Elakkan dari menjadi mangsa kesan-kesan yang boleh dielakkan. Dapatkan rawatan dari doktor yang bertauliah dan bukannya orang yang tidak dikenali di lama sosial. Jadilah pengguna bijak.
Disediakan oleh:
Fahmi bin Hassan (F. H. Abad)
Pegawai Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia
Rujukan:
- BNF
- Micromedex
- Patient Information Leaflet, British Association of Dermatologists