Kegagalan ujian doping bagi atlit adalah satu isu yang amat besar. Ini kerana pingat yang dimenangi oleh atlit akan ditarik balik dan mereka bakal menghadapi hukuman digantung dari menyertai mana-mana acara dalam tempoh tertentu.
Isu ini boleh berlaku kepada mana-mana atlit termasuk yang mempunyai nama besar. Baru-baru ini, 3 orang atlit yang bertanding di dalam Sukan SEA 2017 dikesan mengambil Sibutramine. Seorang adalah penerjun negara manakala dua lagi adalah atlit dari negara Thailand.
Sibutramine adalah bahan yang disenaraikan dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh World Anti Doping Agency (WADA). Sibutramine digunakan sebagai ubat untuk menurunkan berat badan. Ia berfungsi dengan mengubah kandungan ‘neurotransmitter’ di dalam badan yang seterusnya menyekat selera makan manusia.
Penjualan dan penggunaan sibutramine sebenarnya telah diharamkan di Malaysia sejak tahun 2010. Ini kerana ia berupaya meningkatkan risiko serangan jantung dan juga stroke di kalangan penggunanya. Walaubagaimanapun, bahan ini sering dicampurkan di dalam produk-produk tidak berdaftar oleh para peniaga dan pengilang yang tidak bertanggungjawab. Produk pelangsingan badan seperti ini sering dicari awam kerana ia menjajikan kesan yang cepat.
Produk seperti ini bukan sahaja berisiko ke atas kesihatan malah boleh menyebabkan kegagalan ujian doping bagi para atlit. Secara peribadi, saya mengesyaki kebanyakan isu kegagalan ujian doping oleh atlit tempatan adalah disebabkan oleh kealpaan atlit dalam memahami produk atau suplimen tambahan yang diambil.
Pendedahan tentang cara mengenalpasti produk yang selamat adalah amat penting. Produk berdaftar yang telah diluluskan oleh KKM telah diuji dan dikenalpasti bebas dari bahan terlarang sebelum dibenarkan untuk dijual di pasaran. Oleh itu amat penting bagi atlit dan orang awam untuk memastikan mereka hanya mengambil produk yang berdaftar.
Secara ringkasnya, sesuatu produk yang berdaftar mempunyai ciri-ciri berikut:-
1. Mempunyai nombor pendaftaran yang dimulai dengan MAL dan diikuti oleh 8 nombor serta diakhiri dengan huruf. Contoh: MAL 20171234 T
2. Mempunyai pelekat hologram keselamatan
Selain itu, risiko membeli produk yang tidak diluluskan adalah jauh lebih kecil sekiranya produk dibeli melalui penjual yang sah dan diiktiraf seperti di rangkain farmasi komuniti.
Fahmi Hassan
www.fahmihassan.net
fb.com/fahmiabad