Kecederaan Anterior Cruciatae Ligament (ACL) sering berlaku kepada mereka yang aktif bersukan terutamanya sukan berimpak tinggi seperti bola sepak, futsal, ragbi dan sebagainya. Kecederaan ini jika tidak dirawat dengan betul boleh menyebabkan kecederaan lain pada jangkamasa panjang seperti kecederaan meniskus dan osteoarthritis.

Kecederaan ACL biasanya berlaku tanpa kontak. Ia berlaku akibat dari kecederaan sewaktu mendarat selepas melakukan lompatan atau pergerakan sendi lutut yang melebihi kapasiti regangan ligamen. Ada beberapa peringkat kecederaan ACL dan doktor akan menentukan cara mengawal kecederaan tersebut.

Mereka yang mengalami kecederaan ACL biasanya akan mengalami situasi berikut:-

  • Bunyi ‘pop’ lada sendi lutut sewaktu kecederaan berlaku
  • Rasa sakit dan bengkak
  • Lutut berasa ‘longgar’ dan tidak stabil

Selepas beberapa jam, situasi berikut akan berlaku:-

  • Bengkak di sekitar lutut
  • Pergerakan sendi lutut menjadi terhad
  • Sakit
  • Tidak selesa sewaktu berjalan

Doktor yang merawat mungkin akan melakukan rawatan tanpa pembedahan. Program terapi fisio khas akan dipreskrib bagi menguatkan otot-otot tertentu bagi menstabilkan lutut dan mengelakkan kecederaan dari terus berlaku.

Pembedahan juga merupakan satu cara lagi untuk menggantikan ligamen yang terputus. Ia biasanya dilakukan sekiranya kecederaan ACL tersebut adalah pada tahap yang teruk. Selepas pembedahan, program terapi fisio akan diberikan bagi mengembalikan semula fungsi asal sendi.

Ligamen ACL yang terputus tidak akan bersambung dengan sendiri. Ini kerana ia terletak di dalam kapsul sendi lutut (Intra-articular). Kebiasaannya, ketika kecederaan berlaku, darah akan membeku di tempat yang cedera bagi proses pemulihan. Ia akan menjadi platform bagi pembentukan tisu yang baru dan seterusnya memulihkan kecederaan.

ACL terletak di dalam kawasan yang diisi dengan cecair synovial. Cecair ini menghalang pembentukan darah beku pada ACL yang tercedera. Selain itu, kawasan tersebut tidak mempunyai saluran darah yang sempurna seperti di bahagian tubuh yang lain. Ini menyebabkan ACL yang terputus tidak dapat pulih dengan sendiri.

Oleh sebab ACL terletak di kawasan yang sukar dibekalkan dengan aliran darah yang sempurna, adalah amat sukar untuk ubat-ubatan terutamanya yang berbentuk sapuan topikal sampai ke kawasan intra-articular tersebut.

Testimoni-testimoni melampau yang digunakan oleh penjual produk bukanlah bukti kukuh yang menunjukkan produk itu berkesan. Sehingga kini, tiada lagi sebarang laporan kes yang menunjukkan ligamen yang terputus bersambung semula selepas penggunaan produk-produk tersebut.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya mengalami kecederaan lutut?

Sekiranya anda mengalami kecederaan, amalkan teknik RICE.

  • Rest – Rehatkan bahagian yang cedera. Hentikan sebarang aktiviti fizikal sebaik sahaja kecederaan berlaku.
  • Ice – Tuam kawasan yang cedera dengan ais bagi mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Tuam selama 10-20 minit, 3 kali atau lebih setiap hari.
  • Compression – Balut kawasan yang cedera dengan pembalut elastik. Jangan balut dengan terlalu ketat.
  • Elevate – Tinggikan kawasan yang cedera. Alas kaki anda dengan bantal yang sesuai setiap kali anda baring atau duduk.

Apa yang penting adalah untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor. Urutan pada kawasan yang cedera perlu dielakkan bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk berlaku.

Fahmi Hassan – ACL Reconstruction 2010