Satu masa dahulu rokok diiklankan sebagai satu budaya yang kool. Siapa yang tidak merokok dikira ketinggalan zaman dan tidak moden.

Selebriti digunakan untuk promosi rokok. Syarikat rokok berlumba-lumba mengatakan produk mereka lebih selamat berbanding yang lain.

Hinggalah beberapa puluh tahun selepas itu, kajian demi kajian menunjukkan rokok menjadi penyebab banyak penyakit yang membawa maut. Bukan sahaja kepada perokok, tapi kepada orang sekeliling.

Namun apakan daya, penagih nikotin sudah terlalu banyak. Apa yang boleh dilakukan adalah menukar mentaliti masyarakat yang rokok adalah selamat.

Ia tidak lagi dibenarkan untuk diiklankan. Tidak dibenarkan dijual secara terbuka. Penajaan syarikat rokok dalam apa-apa rancangan tv atau sukan tidak lagi dibenarkan.

Tahun demi tahun akhirnya kita dapati jumlah mereka yang mula merokok semakin berkurangan. Rokok tidak lagi dianggap sebagai budaya yang kool.

Tapi kini muncul gejala vape pula. Guna selebriti untuk promosi. Dijadikan sebagai satu budaya yang kool dan mengikut trend. Sampaikan ikon pendidikan pun jual vape.

Beberapa tahun lagi, bila semakin banyak penyakit disebabkan oleh gejala vape ini dijumpai, harap pengeluar, penjual dan selebriti-selebriti ini tidak lepas tangan.

Satu masa dahulu, artis berambut panjang pun tidak dibenarkan masuk tv. Apa sangatlah kesan rambut panjang berbanding artis-artis yang mempromosikan vape ini.

Semoga Allah lindungi generasi muda negara ini dari terpengaruh dengan mereka.