Apakah yang dimaksudkan dengan ubat tahan sakit?

Ubat tahan sakit adalah ubat yang digunakan untuk merawat atau melegakan kesakitan. Terdapat pelbagai jenis ubat tahan sakit yang digunakan dalam bidang perubatan. Ubat tahan sakit boleh diambil melalui mulut (tablet, kapsul dan cecair), melalui suntikan oleh doktor dan melalui dubur (suppository). Terdapat juga ubat tahan sakit dalam bentuk krim dan ointment yang boleh disapu di permukaan kulit.

Ada berapa jenis ubat tahan sakit?

Walaupun terdapat banyak ubat tahan sakit, secara umumnya ubatan yang biasa digunakan boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut cara mereka bertindak. Jenis-jenis ubat tahan sakit adalah:

  • Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS). Contoh bagi ubatan jenis ini adalah ibuprofen dan diclofenac sodium
  • Paracetamol
  • Weak opioids and strong opioids. Contohnya adalah morphine dan tramadol. Kebanyakan pesakit yang memerlukan ubatan jenis ini adalah mereka yang menghidap sakit kronik yang menerima rawatan di wad.

Terdapat juga ubat tahan sakit di pasaran yang mempunyai gabungan beberapa jenis ubat tahan sakit bagi menambahkan keberkesanan ubat-ubatan tersebut.

Bagaimanakah ubat tahan sakit bertindak?

NSAIDs berfungsi dengan menghalang enzim dari menghasilkan prostaglandin, bahan yang bertanggungjawab untuk menghantar isyarat sakit dan inflamasi. Apabila jumlah prostaglandin rendah, isyarat kesakitan dan inflamasi juga akan dikurangkan.

Paracetamol – cara paracetamol berfungsi tidak diketahui dengan tepat. Saintis berpendapat paracetamol menghalang enzim untuk mengurangkan isyarat sakit di otak dan saraf tunjang. Paracetamol digunakan untuk mngurangkan kesakitan dan menuunkan suhu badan. Walaubagaimanapun paracetamol tidak dapat mengurangkan inflamasi dengan berkesan.

Opioids berfungsi dengan bercantum dengan receptor di otak dan saraf tunjang, perut dan beberapa bahagian badan yang lain. Ini akan menyebabkan kita kurang merasa sakit dan meningkatkan kadar ketahanan badan kepada rasa sakit.

Ubat tahan sakit mana yang biasanya dipreskrib oleh doktor?

Jenis ubat tahan sakit yang dipreskrib oleh doktor bergantung kepada jenis sakit yang dihadapi oleh pesakit, penyakit lain yang dihidapi, masalah kesihatan, tahap sakit dan kesan-kesan sampingan ubat yang mugkin dihadapi.

Paracetamol biasanya dipreskrib sekiranya sakit yang dihadapi tidak terlalu serius dan tiada inflamasi berlaku.

NSAIDs secara amnya dipreskrib kepada mereka yang menghidapi sakit beserta inflamasi. Contohnya kepada pesakit yang menghidapi sakit sendi dan sakit belakang. Ini kerana untuk penyakit tersebut, kebiasaannya inflamasi turut berlaku dan NSAIDs dapat merawat sakit beserta inflamasi tersebut. Walaubagaimanapun NSAIDs mempunyai beberapa kesan sampingan dan mungkin tidak sesuai untuk semua orang.

Sebagai contoh, ia tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah gastrik ataupun ulcer di dalam perut. Dalam kes-kes seperti ini biasanya doktor atau ahli farmasi akan memberikan ubat yang lebih sesuai kepada pesakit.

Weak opioids biasanya dipreskrib kepada sakit yang lebih serius dan tidak dapat dirawat dengan paracetamol dan NSAIDs.

Stronger opioids biasanya digunakan untuk melegakan sakit yang amat serius seperti sakit yang berkaitan dengan penyakit kanser dan sakit setelah menjalani pembedahan.

Krim dan ointment kebiasaannya digunakan untuk merawat sakit otot dan sendi.

Bagaimanakah cara pengambilan ubat tahan sakit yang betul?

Pesakit yang dalam kesakitan dinasihatkan untuk mengambil ubat tahan sakit mengikut kadar yang ditetapkan Contohnya bagi pesakit yang dipreskrib dengan paracetamol, anda akan dinasihatkan untuk mengambil ubat tersebut 4 kali sehari, setiap hari sehingga sakit tersebut hilang. Sesetengah pesakit cuma dinasihatkan untuk mengambil ubat pada waktu sakit sahaja. Ini bergantung kepada jenis sakit dan ubat yang diberikan.

Ubat ubatan NSAIDs seperti ibuprofen dan diclofenac perlu diambil bersama makanan ataupun sesudah makan. Ini untuk mengurangkan kesan sampingan ubat tersebut. Apa yang penting adalah kita mengikut aturan yang telah diberikan oleh ahli farmasi atau doktor sewaktu mendapat ubat tersebut.

Berapa lamakah kebiasaannya rawatan dengan ubat tahan sakit?

Seperti kebanyakan ubat untuk penyakit akut, ubat tahan sakit perlu diambil dalam jangkamasa yang paling singkat dengan dos yang paling rendah yang dapat melegakan sakit. Ini dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan sampingan ubat. Kebanyakan pesakit cuma memerlukan rawatan selama beberapa hari (sakit kepala/sakit gigi), atau beberapa minggu (kekejangan otot). Walaubagaimanapun terdapat juga pesakit yang memerlukan rawatan untuk jangkamasa yang lama seperti pesakit osteoarthritis, rheumatoid arthritis dan sakit belakang yang kronik.

Apakah kesan sampingan yang bakal dihadapi dengan pengambilan ubatan tahan sakit?

Setiap jenis ubat tahan sakit mempunyai kesan sampingannya sendiri. Walaubagaimanaupun sekiranya pengambilan ubat tahan sakit adalah mengikut peraturan dan jangkamasa rawatan yang disarankan, ia jarang menyebabkan kesan sampingan yang serius.

NSAIDs – kebanyakan pesakit yang mengambil ubatan ini tidak menghadapi sebarang kesan sampingan yang serius. Apabila diambil dengan cara yang betul, kebaikan yang diberikan oleh ubat ini melebihi dari risiko kesan sampingan. Walaubagaimanapun, kesan sampingan seperti pendarahan di dalam perut dan juga masalah kardiovaskular boleh berlaku sekiranya ubat ini diambil terlalu lama tanpa kawalan dan pengawasan doktor.

Paracetamol – ia adalah ubat yang selamat dan jarang mendatangkan kesan sampingan sekiranya ia diambil tidak melebihi dari dos yang ditetapkan. Walaubagaimanapun ia sangat berbahaya sekiranya diambil dengan terlalu banyak sehingga melebihi dos (overdose). Overdose ubat ini boleh mendatangkan kecedaraan kekal kepada hati.

Opioids – kesan sampingan paling biasa adalah rasa loya dan muntah terutamanya sewaktu mula mula rawatan diberikan, sembelit dan kekeringan mulut. Ia juga boleh menyebabkan mengantuk dan kekeliruan. Pengambilan ubat ini dalam jangkamasa yang lama boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan terhadap ubat.

Sesetengah ubat tahan sakit akan berinteraksi dengan ubatan lain yang anda ambil. Ini boleh menyebabkan reaksi antara ubat berlaku. Oleh itu, anda perlu memberitahu doktor atau ahli farmasi ubatan anda yang lain sekiranya anda dipreskrib dengan ubat tahan sakit.

Apakah kesan mengambil ubat tahan sakit dalam jangkamasa yang lama?

Selain dari mendapat kesan kesan sampingan yang disenaraikan, pengambilan ubatan tahan sakit boleh menyebabkan ‘tolerance’ di mana dos yang diberikan tidak lagi dapat melegakan kesakitan. Dos ubat ubatan terpaksa ditingkatkan sehingga menyebabkan seseorang terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit untuk menjalankan aktiviti harian. Kebergantungan ini akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kesihatan pesakit termasuk secara psikologi.

Secara kesimpulannya, apakah nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang selalu memerlukan ubat tahan sakit?

Bagi mereka yang memerlukan ubat tahan sakit, dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi sebelum mengambil ubat ubatan anda. Kebiasaannya rasa sakit yang dihadapi boleh dirawat oleh doktor tanpa menggunakan ubat tahan sakit dalam jangkamasa yang terlalu lama. Ubat tahan sakit selamat digunakan untuk sakit yang datang secara akut dan tidak kerap sekiranya diambil mengikut peraturan dan dos yang dicadangkan.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menghidap rasa sakit yang kronik, pemantauan berpanjanan dari doktor sepanjang rawatan adalah sangat penting bagi memastikan kesan sampingan ubat dapat dipantau dan dielakkan.