“Saya nak ubat tahan sakit yang paling kuat sekali”
“Saya nak ubat demam yang paling kuat sekali”
“Saya nak ubat batuk yang paling kuat sekali”
“Doktor tolong beri saya antibiotik yang paling kuat sekali”
Sebenarnya wujudkah ubat yang paling kuat?
Dalam dunia perubatan, tiada istilah ubat paling kuat. Kalaulah ada ubat paling kuat atau paling mujarab yang sesuai untuk semua, tak perlulah farmasi simpan banyak jenis ubat. Cukup satu ubat untuk setiap penyakit.
Setiap ubat yang diberi adalah berdasarkan keadaan pesakit. Ambil contoh batuk. Mungkin bagi yang bukan dalam bidang kesihatan, batuk adalah batuk. Ubatnya dalam bentuk air dan mengantuk.
Tetapi sebenarnya, batuk ada banyak jenis. Ada yang batuk berkahak. Ada tanpa kahak. Ada yang disertai sakit tekak. Kuman yang boleh menyebabkan batuk pun ada pelbagai jenis.
Ubatnya pula perlu sesuai dengan jenis batuk pesakit. Ada juga yang tak sesuai untuk pesakit diabetes. Ada yang digunakan untuk mencairkan kahak. Ada untuk menahan batuk. Ada untuk melegakan sakit tekak.
Oleh itu, rawatan yang diberi sudah pasti tak sama di antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.
Begitu juga dengan ubat-ubat lain. Ubat tahan sakit contohnya tak boleh diambil sewenangnya oleh semua. Ada yang tak sesuai diberi untuk pesakit yang menghidap penyakit gastrik. Ada yang tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang dan jantung.
Antibiotik juga begitu. Ia bertindak secara spesifik ke atas jenis kuman. Satu jenis antibiotik hanya sesuai untuk bakteria-bakteria tertentu sahaja. Sebab itu doktor akan beri antibiotik yang mungkin berbeza untuk pesakit.
Selepas ini, jika tuan-puan ke farmasi, jangan minta lagi ubat yang paling kuat. Jika berjumpa doktor, jangan minta antibiotik paling kuat.
Ubat paling kuat itu adalah mitos. Yang wujud adalah ubat paling sesuai.
Fahmi Hassan
Pharmacist