Sekejap sahaja rasanya Ramadan berlalu. Minggu hadapan kita akan menyambut Hari Raya. Ada yang betuah dapat cuti lama dan akan pulang ke kampung seawal minggu ini.

Apabila bercuti panjang, kadang-kadang kita terlupa tentang ubat-ubatan. Ini boleh mendatangkan mudarat sekiranya kita menghidap penyakit kronik dan memerlukan pengambilan ubat secara rutin.

Kadangkala, ubat yang dibawa tidak disimpan di tempat yang sesuai. Ini boleh menyebabkan ubat-ubatan yang sensitif kepada suhu dan cahaya rosak dan tidak lagi berkesan.

Nasihat saya:

1. Kira betul-betul jumlah hari bercuti. Pastikan ubat yang dibawa mencukupi.

2. Simpan ubat di dalam bekas yang sesuai.

3. Bawa preskripsi bersama-sama sewaktu pulang ke kampung. Jika keputusan bekalan, anda boleh mendapatkan ubat yang betul di farmasi.

4. Simpan bekas ubat di dalam ‘hand luggage’ atau beg tangan. Beg ini perlu diletakkan di dalam kereta dan bukannya di ruang bonet.

5. Jika berhenti rehat sewaktu perjalanan, bawa turun beg yang berisi ubat-ubatan bersama. Ini untuk mengelakkan ia terdedah kepada suhu yang tinggi.

6. Jika menaiki kapal terbang, bawa ubat di dalam ‘hand luggage’.

7. Insulin boleh bertahan selama 30 hari jika disimpan pada suhu bilik. Sekiranya anda bercuti lebih dari tempoh tersebut, bawa bekalan insulin yang disimpan bersama ‘ice pack’ dan ‘cold box’.

8. Asingkan dan simpan ubat-ubatan anda di tempat yang selamat apabila sampai ke destinasi.

9. Jangan berkongsi ubat dengan orang lain!

Tonton video ini untuk maklumat lanjut. Semoga kita kekal sihat dan aktif di Hari Raya!

Fahmi Hassan
Pegawai Farmasi

fb.com/fahmiabad
www.fahmihassan.net