Beberapa minggu lepas, saya baca beberapa artikel berkaitan sindrom ini. SIDS ini adalah kematian bayi yang sihat berumur bawah satu tahun yang berlaku secara tiba-tiba, tidak dijangka dan tanpa sebab.
Di antara artikel yang saya baca, saya terjumpa satu sumber yang amat baik. Ia mudah difahami dan disertakan dengan rujukan yang baik. Saya kira, amat rugi jika saya tak kongsi bersama orang lain. Artikel asal boleh dibaca melalui pautan ini: https://www.uptodate.com/…/sudden-infant-death-syndrome-sid…
Majoriti bayi yang malang ini berumur 2 hingga 4 bulan. 90% daripada kes yang dilaporkan berlaku kepada bayi yang berumur kurang dari umur 6 bulan. Kebanyakannya berlaku sewaktu bayi tidur di waktu malam.
Sebab berlakunya SIDS tidak diketahui secara tepat. Terdapat banyak kajian yang membincangkan perkara ini namun tiada punca dapat dikenalpasti. Ada beberapa teori berkaitan isu ini namun ia masih belum dapat dibuktikan secara konkrit.
Sebagai ibu-bapa, apa yang boleh dilakukan adalah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko perkara ini berlaku. Di antara langkah yang boleh diambil adalah:
1. Menidurkan bayi secara baring terlentang
Pada tahun 1992, American Academy of Pediatrics (AAP) telah menjalankan satu kempen yang diberi nama “Back to Sleep”. Kempen ini memberi penerangan kepada ibu-bapa tentang kepentingan menidurkan bayi secara baring terlentang. Kes SIDS berkurangan sehingga 50% selepas kempen ini dijalankan.
Bayi yang dibedung juga perlu ditidurkan secara terlentang. Sekiranya bayi telah berupaya memusingkan badan, bedung tidak digalakkan untuk digunakan lagi.
2. Penggunaan katil bayi
Bayi juga digalakkan untuk ditidurkan di atas katil bayi. Bayi tidak sepatutnya ditidurkan di atas sofa, kerusi malas, atau apa-apa permukaan kerusi berkusyen.
3. Elakkan penggunaan ‘car seats’ untuk menidurkan bayi
Bayi tidak sepatutnya ditidurkan di dalam ‘car seats’ secara rutin untuk masa yang lama. Ini kerana bayi kadangkala mempunyai masalah bernafas dengan betul dalam posisi tersebut. Walau bagaimanapun, penggunaannya sewaktu pemanduan adalah perlu kerana risiko SIDS adalah lebih rendah berbanding risiko kemalangan.
4. Elakkan objek-objek lembut berdekatan bayi
Objek seperti bantal, selimut, tuala dan patung permainan tidak sepatutnya berada berhampiran bayi yang tidur. Kepala bayi perlu dibiarkan terbuka sewaktu tidur. Selimut untuk bayi perlu dipastikan mempunyai saiz yang bersesuaian dan diletakkan di posisi yang betul.
5. Berhenti merokok
Ibu-bapa serta ahli keluarga yang duduk serumah dengan bayi digalakkan untuk berhenti merokok. Sekiranya tidak mampu, elakkan untuk merokok di dalam rumah.
6. Menyusu badan
Di antara kebaikan menyusu badan adalah dapat mengurangkan risiko SIDS ke atas bayi. Perlindungan terhadap SIDS ini lebih baik sekiranya susu badan diberi dalam tempoh yang lama.
7. Puting
Penggunaan puting yang betul dapat mengurangkan risiko SIDS berlaku. AAP mencadangkan puting diberi sewaktu bayi hendak tidur sahaja dan bukannya dimasukkan ke dalam mulut bayi yang tidur. Walau bagaimanapun, AAP turut mencadangkan puting hanya diberi setelah bayi berumur 1 bulan, setelah bayi mahir menyusu badan.
Malang memang tidak berbau. Namun kita boleh cuba mengurangkan risiko ia berlaku dengan mengamalkan cara-cara tersebut. Sekiranya tuan-puan ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan isu ini, boleh baca di pautan asal yang saya berikan tadi.