Tular gambar surat dari sebuah syarikat yang menarik semula produk ranitidine dari pasaran. Ini kerana produk tersebut dikesan mengandungi bahan asing NDMA.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kes penarikan ubat berlaku akibat dari kandungan NDMA. Produk ranitidine keluaran beberapa syarikat lain dan beberapa jenis ubat darah tinggi juga pernah ditarik dari psaran Malaysia.

Ini berlaku kerana terdapat siasatan ke atas kehadiran bahan asing NDMA dalam beberapa jenis ubat di seluruh dunia.

NDMA adalah bahan asing yang banyak dikesan di dalam air, makanan, produk tenusu, ikan, daging, pewangi, asap rokok dan bermacam-macam lagi. Malah ia boleh terhasil di dalam perut akibat dari pencernaan bahan-bahan tertentu.

NDMA diklasifikasikan bahan yang BERISIKO menyebabkan kanser. Ini disebabkan beberapa kajian ke atas tikus menunjukkan risiko tersebut. Namun begitu, ia hanya berlaku PADA DOS TINGGI.

Kesannya kepada manusia masih belum diketahui. Namun begitu, badan berwajib telah menetapkan kadar selamat bahan tersebut sekiranya dikesan dalam mana-mana produk ubat atau makanan.

Paras NDMA yang dikesan dalam ubat-ubatan yang ditarik balik adalah lebih tinggi dari paras yang dibenarkan. Atas sebab itu, produk-produk tersebut ditarik dari pasaran oleh pengeluar.

Namun harus diingatkan, kandungan NDMA dalam produk yang dikesan setakat ini adalah lebih kurang dengan kadar NDMA yang biasa mencemar produk makanan dan minuman kita seharian. Tanpa mengambil ubat tersebut, kita memang sudah terdedah dengan NDMA pada kadar yang lebih kurang sama setiap hari dari persekitaran.

Oleh sebab itu, pesakit yang mengambil ubat-ubatan tersebut tidak perlu panik. Risikonya adalah terlalu kecil berbanding dengan manfaat ubat yang digunakan untuk mengawal penyakit.

Bincang dengan doktor yang merawat. Anda mungkin juga dicadangkan untuk menukar ubat-ubatan anda ke jenis ubat yang lain.

Fahmi Hassan

Pharmacist

www.fahmihassan.net

Rujukan:

http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/337/1235

https://www.npra.gov.my/index.php/en/health-professionals/recent-updates/412-english/press-release/press-release-2019/2084-kenyataan-akhbar-kpk-29-mac-2019-produk-losartan-yang-ditarik-balik-di-singapura-serta-situasi-di-pasaran-malaysia.html

https://www.fda.gov/news-events/press-announcements/statement-alerting-patients-and-health-care-professionals-ndma-found-samples-ranitidine

https://www.atsdr.cdc.gov/toxprofiles/tp141-c1.pdf