Ubat-ubatan merupakan satu komoditi penting dalam penjagaan kesihatan di Malaysia. Pada tahun 2015, kerajaan membelanjakan RM 3.4 billion bagi pembelian ubat, consumable dan vaksin. Jumlah ini adalah 40% dari jumlah peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Majoriti pesakit yang datang menerima rawatan di hospital akan menerima rawatan dengan ubat-ubatan. Penerangan tentang penyakit dan rawatan akan dijelaskan kepada pesakit oleh profesional kesihatan terutamanya doktor dan pegawai farmasi. Setiap kali pesakit mendapatkan bekalan ubat, mereka perlu berjumpa dengan pegawai farmasi dan menerima penerangan berkenaan ubat-ubatan mereka.

Pegawai farmasi juga akan mengenalpasti pesakit yang memerlukan sesi kaunseling ubat-ubatan khusus berdasarkan kriteria yang ditetapkan. DI antaranya ialah pesakit yang menerima rejimen rawatan yang kompleks, mempunyai masalah kepatuhan, kawalan penyakit yang lemah dan sebagainya.

Adakah pesakit faham tentang kepentingan ubat-ubatan?

Telah banyak kajian dijalankan bagi mengenalpasti tahap pemahaman masyarakat terhadap penggunaan ubat-ubatan. Kajian National Survey On The Use of Medicines menunjukkan kepuasan pesakit terhadap maklumat yang disampaikan melalui label ubat didapati meningkat dari 81% (2012) kepada 90.3% (2015). 72.5% pesakit juga bersetuju bahawa nilai ubat perlu dipaparkan di atas label ubat.

Selain itu, kajian yang sama juga menunjukkan peningkatan kefahaman pesakit terhadap penggunaan ubat ubatan dari 56.6% (2012) kepada 81.4% (2015). Ini menunjukkan kebanyakan pesakit faham tentang cara yang betul untuk mengambil ubat-ubatan yang dipreskrib kepada mereka.

Namun amat mengejutkan impak peningkatan kefahaman pesakit tidak ditunjukkan di dalam senario sebenar. Kawalan penyakit tidak berjangkit di Malaysia tidak menunjukkan perkembangan yang baik. Setiap hari juga pegawai farmasi menerima ubat-ubatan yang dipulangkan dari pesakit yang disebabkan oleh pelbagai punca.

Antara jenis ubat-ubatan yang kerap dipulangkan ke farmasi adalah ubat-ubatan untuk penyakit diabetes, darah tinggi dan kardiovaskular. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti ini menjadi beban utama dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

Nilai rawatan yang diberikan oleh kerajaan

Ubat-ubatan di hospital kerajaan dibekalkan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, kerajaan tidak meminta agar pesakit membayar harga ubat-ubatan yang diberikan. Perbelanjaan yang tinggi ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat.

Untuk makluman, bagi setiap RM 1 yang dibayar oleh pesakit untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, nilai ubat yang diterima adalah di antara RM 5 hingga RM 40 seminggu. Bagi rawatan klinik pakar, bagi setiap RM 5 yang dibayar, pesakit menerima rawatan dengan ubat-ubatan bernilai sehingga RM 400 sebulan.
Mengapa pembaziran berlaku?

Faktor-faktor yang dikenalpasti menyebabkan berlaku kes-kes pemulangan ubat adalah seperti berikut:-
1. Berlaku pertukaran regimen ubat-ubatan
2. Pemberhentian rawatan bagi sesetengah jenis ubat
3. Pesakit tidak mengambil ubat mengikut arahan
4. Pesakit telah meninggal dunia
5. Pesakit menerima rawatan dari beberapa klinik dan menerima ubat-ubatan yang sama

Masalah-masalah tersebut sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya semua pihak memainkan peranan dalam pengurusan rawatan. Dengan tidak menafikan pentingnya untuk pesakit mematuhi rawatan yang diberikan, ahli profesional kesihatan seperti pegawai farmasi, doktor, jururawat dan sebagainya juga boleh menyumbang kepada pengurangan berlakunya kes pembaziran ubat.

Panduan kepada perawat dan pesakit

Sebagai panduan kepada profesional kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan panduan yang jelas bagi mengurangkan berlaku pembaziran ubat. Di antara langkah-langkah yang telah dijalankan adalah:-
1. Membudayakan penggunaan ubat-ubatan secara rasional dan kawalan terhadap pembakalan ubat-ubatan pakar mengikut kategori.
2. Menghadkan bekalan ubat susulan untuk tempoh satu bulan.
3. Menggalakkan pesakit membawa baki ubat sewaktu mengambil ubat. Ubat akan dibekalkan secara top-up terhadap baki sedia ada.

Bagi seseorang pesakit, perkara yang paling utama bagi mengelakkan berlakunya pembaziran ubat-ubatan adalah dengan mematuhi arahan pemakanan ubat seperti mana yang diberitahu oleh pegawai farmasi. Bekalan ubat yang dibekalkan oleh pegawai farmasi sebenarnya tidak akan berlebihan sekiranya pesakit mengambil semua ubat yang diberikan.

Sekiranya anda mempunyai masalah sewaktu mengambil ubat, bincangkan perkara ini bersama dengan ahli farmasi atau doktor yang merawat. Regimen rawatan mungkin boleh diubah bagi meningkatkan kepatuhan terhadap pengambilan ubat.

Selain itu, pesakit juga boleh memberitahu pegawai farmasi sekiranya masih terdapat bekalan ubat yang berlebihan di rumah. Melalui cara ini, pesakit boleh menggunakan baki ubat-ubatan sedia ada bagi mengelakkan pembaziran berlaku. Bekalan seterusnya akan ditambah sekiranya baki sedia ada tidak mencukupi.

Ahli-ahli profesional kesihatan yang terlibat merawat pesakit juga menilai tahap kepatuhan pesakit. Amalan meminta pesakit membawa baki ubat di rumah juga boleh dilakukan bagi memastikan kepatuhan pesakit dan juga mengurangkan pembaziran. Pesakit tidak perlu lagi dibekalkan dengan ubat yang masih berbaki.

Sebagai kesimpulan, semua pihak perlu saling berusaha untuk mengelakkan pembaziran ubat berlaku. Kepatuhan pesakit terhadap rawatan perlu dipertingkatkan dengan nasihat dan pendidikan secara berterusan. Semoga dengan cara ini, pembaziran dapat dikurangkan dan ubat-ubatan akan lebih dihargai oleh pesakit.

Disediakan oleh:

Fahmi Hassan (F. H. Abad)
Pegawai Farmasi
fb.com/fahmiabad
#medicalmythbustersmalaysia