Vitamin dan mineral adalah bahan-bahan yang penting dalam memastikan sistem fisiologi badan berfungsi dengan baik dan sempurna. Setiap jenis bahan tersebut mempunyai fungsi dan kepentingannya yang tersendiri dan berbeza-beza. Kekurangan salah satu jenis vitamin atau mineral akan mendatangkan kesan kepada fungsi fisiologi tubuh badan.

Ratusan tahun yang lampau, sumber makanan manusia yang utama adalah dari haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan hasil dari alam semulajadi. Haiwan-haiwan diburu atau ditangkap untuk dijadikan sumber makanan. Tumbuh-tumbuhan an buah-buahan pula dicari dan dipetik dari hutan dan dimakan segar. Aktiviti penternakan dan pertanian tidak dijalankan secara komersial. Mereka pada masa ini hidup dengan sihat tanpa memerlukan tambahan vitamin dan mineral dari sumber lain.

Jadi mengapakah pada masa kini, kita memerlukan tambahan vitamin dan mineral dalam bentuk pil dan tablet untuk memastikan kita sentiasa sihat dan mempunyai daya ketahanan penyakit yang tinggi? Adakah kita benar-benar memerlukan makanan tambahan tersebut atau ianya hanya bertujuan untuk menguntungkan kedai-kedai farmasi dan pengamal perubatan?

Bandingkan kehidupan kita dengan masyarakat manusia yang hidup ratusan tahun yang lampau. Makanan kita pada masa ini tidak lagi diperolehi dari hasil-hasil buruan dan tumbuhan dari hutan. Kita mendapatkan makanan dari pasar-pasar dan kedai-kedai. Sumber makanan tersebut ialah sumber yang telah diproses, dan berkemungkinan telah diperolehi beberapa minggu sebelum dipasarkan.

Tanah pertanian yang digunakan untuk tanaman sumber makanan tersebut telah ditanam dengan pokok yang sama berulang-ulang kali, tahun demi tahun. Haiwan ternakan pula berkemungkinan diberikan hormon atau antibiotik bagi mempercepatkan proses tumbesaran. Oleh yang demikian, kualiti makanan dari segi kuantiti mineral yang terkandung di dalam sumber makan tersebut amatlah berbeza. Mineral seperti Boron, Selenium dan Magnesium yang mempunyai pernanan dalam penghasilan vitamin tidak lagi dapat diserap dari makanan tersebut.

Selain itu, 70% dari kandungan vitamin akan terungkai semasa pemprosesan, pembungkusan, penghantaran dan penyimpanan makanan. Oleh sebab itu kebanyakan manusia pada masa kini memerlukan makanan tambahan bagi memastikan keperluan vitamin dan mineral dapat dipenuhi untuk menjamin kesihatan tubuh badan.

Penting diingatkan pengambilan vitamin dan mineral tambahan ini, walaupun mempunyai kepintangan dalam penjagaan kesihatan perlulah mengikut kaedah dan saranan yang betul. Keputusan untuk mengambil makanan tambahan ini perlulah mendapat nasihat dari pengamal perubatan, ahli farmasi atau pakar-pakar pemakanan.

Vitamin dan mineral tambahan yang diambil perlulah dipastikan keselamatan dan kebersihannya. Produk-produk tersebut perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Dos yang dicadangkan juga perlu sesuai dengan diri dan status kesihatan seseorang.

Ini kerana kebanyakan vitamin dan mineral tambahan ini akan bertindakbalas dengan ubat-ubatan lain. Oleh itu, adalah penting bagi orang ramai merujuk kepada pengamal perubatan profesional seperti ahli farmasi. Ia akan mengurangkan kesan sampingan ubat, atau ketidakberkesanan ubat yang sedang diambil.

Status kesihatan juga perlu diberi perhatian sewaktu pengambilan vitamin dan mineral tambahan. Sebagai contoh, pengambilan vitamin A yang terlalu tinggi sewaktu hamil boleh meningkatkan risiko kecacatan kepada bayi di dalam kandungan. Oleh yang demikian, cara paling selamat adalah untuk kita mendapatkan nasihat dan pemeriksaan kesihatan oleh doktor sebelum memulakan pengambilan vitamin dan mineral tambahan.

Selain itu, pengambilan vitamin dan mineral dalam dos yang tinggi juga boleh mendatangkan kesan yang berbahaya kepada manusia. Vitamin C berlebihan boleh mendatangkan masalah batu karang dan cirit-birit. Pengambilan zink yang terlalu tinggi akan menyebabkan kekurangan zat besi dalam badan dan mengakibatkan masalah anemia. Zat besi yang terlalu tinggi pula boleh mengakibatkan keletihan dan sakit sendi.

Kesimpulannya di sini, walaupun vitamin dan mineral adlaah penting bagi penjagaan kesihatan, pengambilannya secara berlebihan boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan. Oleh itu, kita perlu bijak untuk menilai apa yang diperlukan dan tidak terpengaruh dengan saranan-saranan pengambilan yang tidak berasas oleh penjual-penjual yang tidak bertauliah. Rujuk ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan profesional.