Harith merupakan seorang peguam yang berumur 33 tahun. Firma guaman tempat dia bekerja merupakan sebuah firma yang besar. Dia bekerja hampir 12 jam setiap hari. Harith memang seorang yang komited dengan kerjayanya sebagai seorang peguam.
Oleh kerana kesibukan dalam menjalankan tugas, Harith jarang sekali bercuti.
Kadangkala setiap hari dia bekerja termasuk pada hujung minggu. Ini kerana sekiranya dia bercuti, banyak kes-kes yang perlu diuruskannya akan tertangguh.
Perkara yang Harith paling takuti adalah jatuh sakit. Ini kerana walaupun tidak sihat, dia masih terpaksa menyiapkan kerja-kerjanya. Maklumlah, bekerja di firma yang sangat sibuk.
Oleh sebab itu, setiap kali terasa seperti ingin batuk dan selsema, Harith akan terus pergi ke klinik. Tujuannya ialah untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin sebelum selsema dan batuknya menjadi lebih teruk.
Setiap kali berjumpa doktor, dia akan memaksa doktor untuk mempreskrib antibiotik. Pelik betul doktor zaman sekarang, macam dah tak tahu nak merawat pesakit. Antibiotik pun perlu diminta sendiri oleh pesakit.
Kadangkala sekiranya tidak berjaya mendapatkan antibiotik dari doktor, Harith akan mencuba nasib di kedai farmasi pula. Ahli farmasi pun sama juga perangainya macam doktor. Perlu dipaksa dan ditengking, barulah dapat antibiotik yang diminta. Mereka ni tak nak duit agaknya.
Harith tak percaya dengan doktor dan ahli farmasi. Dalam fikiran Harith, mereka sengaja tak mahu dia sihat dengan cepat. Mereka nak Harith datang jumpa mereka berulang-ulang. Sebab tu mereka tak beri antibiotik.
Hinggalah pada satu hari, Harith jatuh sakit yang agak teruk. Demamnya tak kebah-kebah. Biasanya selepas 3 hari makan antibiotik yang dibeli secara paksa, dia sudah sembuh. Kali ini dah 5 hari, dia masih demam.
Harith memaksa sahabatnya, Fadly membawanya ke hospital. Sampai di hospital, doktor mula melakukan pemeriksaan. Suhu badannya 40 darjah selsius. Tinggi.
Doktor mula memeriksa bunyi paru-paru Harith. Stetoskop diletakkan di dada. Berkerut-kerut muka doktor tersebut fokus mendengar bunyi dari paru-paru Harith.
Harith dimasukkan ke wad. Doktor kata ada jangkitan di dalam paru-paru. Dia perlu dirawat menggunakan suntikan antibiotik. Harith terpaksa setuju, badannya sudah terlalu lemah. Doktor mengambil darah Harith untuk melakukan ujian. Selepas itu, rawatan pun diberikan.
Selepas dua hari di wad, Harith masih demam. Suhu badannya masih tinggi. Doktor pun agak pelik melihat antibiotik yang diberi seperti tidak berkesan kepada Harith.
Rupa-rupanya, menurut ujian darah yang dilakukan, kuman di dalam badan Harith sudah menjadi kebal terhadap antibiotik yang diberikan. Patutlah jangkitan paru-parunya tidak sembuh.
Doktor mengajukan soalan bertubi-tubi kepada Harith. Harith mengaku, dia kerap mengambil antibiotik sebelum ini. Dia juga mengaku, dia tidak menghabiskan antibiotik mengikut saranan doktor dan ahli farmasi. Selain itu, dia kerap memaksa doktor untuk memberi antibiotik. Dia juga selalu memaksa ahli farmasi menjual antibiotik tanpa preskripsi.
Sekarang baru Harith sedar kesan buruk daripada amalannya. Dari ingin cepat sembuh, dia kini merana dengan jangkitan kuman yang tidak lagi mampu dirawat dengan antibiotik.
Nasib baik kuman yang menjangkiti Harith masih sensitif terhadap satu jenis antibiotik yang ada di hospital tersebut. Selepas 10 hari dirawat, Harith akhirnya sihat dan dibenarkan pulang.
Harith kini menyesal. Dia sedar yang doktor dan ahli farmasi bukan sengaja tidak menjual antibiotik kepada dia supaya dia lambat sembuh. Sebaliknya mereka ingin mengelakkan daripada berlaku komplikasi kerintangan antibiotik seperti ini.
Jangan jadi seperti Harith.
Jangan minta antibiotik dari doktor.
Jangan beli antibiotik tanpa preskripsi.
Habiskan antibiotik seperti mana dipreskrib.
Hentikan kerintangan antibiotik.
#antibiotikperluke #antibioticawarenessweek #stopantimicrobialresistance