Negara kita dikejutkan dengan kisah jenayah yang amat mengerikan apabila seorang remaja dikatakan telah membunuh dan memenggal tangan dan kaki neneknya sendiri. Remaja itu dikatakan mempunyai gangguan mental dan dilaporkan tidak mengambil ubat-ubatan sejak beberapa bulan yang lalu.

Saya percaya pihak polis akan menyiasat mengenai punca dan motif kejadian dengan sebaiknya. Namun begitu apa yang menarik minat saya untuk menulis mengenai perkara ini adalah untuk membincangkan berkenaan kemungkinan perkara ini berlaku akibat ketidakpatuhan kepada ubat-ubatan. Penulisan saya selepas ini adalah bersikap umum dan tidak merujuk kepada kes tersebut secara spesifik.

Mematuhi regimen ubat-ubatan merupakan perkara yang amat penting yang memberi kesan secara langsung terhadap keberkesanan dan kegagalan sesuatu rawatan. Ubat-ubatan diberikan dengan dos dan jenis yang tertentu agar sesuai dengan penyakit dan status kesihatan seseorang.

Kebiasaannya kesan tidak patuh kepada ubat-ubatan ini akan dapat dilihat kepada pesakit itu sendiri. Sebagai contoh, pesakit diabetes yang tidak patuh pada rawatan insulinnya akan menyebabkan kandungan gula dalam darah tidak dapat dikawal dan meningkatkan risiko untuk mengalami komplikasi-komplikasi yang lain.

Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, seperti penyakit mental, perkara ini bukan sahaja boleh mendatangkan risiko kepada diri pesakit, malah orang sekeliling juga. Pesakit mungkin boleh menjadi agresif sehingga membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

Satu contoh lagi dalam kes-kes pesakit yang menghidap epilepsi atau sawan. Sekiranya ubat-ubatan tidak diambil mengikut aturan yang ditetapkan, penyakit tersebut tidak akan dapat dikawal dengan baik. Amatlah bahaya dan malang sekiranya pesakit diserang sawan sewaktu sedang memandu kerana ini bukan sahaja membahayakan nyawanya malah pengguna jalan raya yang lain.

Selain dari kesedaran dan motivasi pesakit untuk menjaga kesihatan, faktor sokongan rakan dan kaum keluarga juga penting untuk meningkatkan tahap kepatuhan terhadap ubat-ubatan. Ahli keluarga dan teman rapat perlulah membuang stigma terhadap penyakit yang dihadapi oleh pesakit.

Penjaga kepada pesakit yang tidak dapat menguruskan ubat-ubatannya sendiri perlu peka dan ambil tahu mengenai rawatan pesakit. Jenis ubat, dos dan masa pengambilan perlu diambil perhatian. Pastikan juga bekalan ubat-ubatan sentiasa cukup sepanjang rawatan diberikan.

Warga emas kadangkala keliru apabila terpaksa mengambil banyak ubat-ubatan. Anak-anak perlu memainkan peranan dengan membantu menyusun ubat-ubatan mereka untuk memudahkan mereka mengambil ubat mengikut peraturan dan juga mengelakkan kesilapan berlaku.

Sebagai penutup, kami ingin mengingatkan para pembaca agar sentiasa mengambil berat tentang ubat-ubatan anda dan juga ahli keluarga atau teman-teman rapat anda. Keharmonian hubungan silaturrahim akan lebih dirasai sekiranya kita hidup di dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.