Apabila menghidap sesuatu penyakit, kadangkala kita mungkin diberikan dengan lebih dari satu jenis ubat. Selain itu, mungkin ada antara kita yang ada mengambil vitamin atau suplemen tambahan setiap hari. Timbul persoalan samada ubat-ubatan tersebut boleh diambil secara serentak atau tidak.

Sebagai contoh, seorang pesakit darah tinggi tercedera dan luka dengan teruk. Doktor kemudiannya mempreskrib ubat tahan sakit dan antibiotik. Kini, selain dari ubat darah tinggi, pesakit itu perlu mengambil ubat tahan sakit dan antibiotik. Jadi bagaimana caranya untuk mengetahui cara yang betul untuk mengambil ubat-ubat tersebut?

Ubat-ubatan boleh memberi interaksi antara satu dengan lain apabila dua atau lebih ubat diambil pada satu-satu masa. Ia boleh menyebabkan kesan ubat bertambah, kesan sampingan menjadi teruk, atau kesan sesuatu ubat berkurangan. Ia juga dipanggil sebagai interaksi ubat-ubat (drug-drug interaction).

Interaksi ubat-ubat

Kebanyakan ubat akan diproses di dalam hati dengan bantuan enzim-enzim tertentu. Ia kemudian akan dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil dan disingkirkan melalui buah pinggang. Sesetengah ubat berupaya mengganggu proses metabolisme dan penyingkiran ubat lain.

Sekiranya ubat A boleh menghalang enzim yang memproses ubat B di dalam hati, ia akan menyebabkan kepekatan ubat B di dalam darah menjadi tinggi. Ini boleh menyebabkan risiko kesan sampingan berlaku lebih tinggi. Dalam situasi ini, dos ubat B akan dikurangkan untuk mengelakkan kesan sampingan.

Pada keadaan lain, sekiranya ubat A meningkatkan aktiviti enzim yang memproses ubat B, kepekatan ubat B dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan menyebabkan ubat B kurang berkesan. Sekiranya ia berlaku, dos ubat B akan dinaikkan.

Interaksi ubat-ubat juga boleh berlaku dengan cara yang lain. Contohnya menyebabkan perbezaan kadar serapan dari usus dan kadar penyingkiran melalui buah pinggang. Interaksi ini boleh menyebabkan situasi kepekatan ubat menjadi tinggi atau rendah seperti yang diterangkan di atas.

Ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan yang sama boleh menyebabkan kesan sampingan menjadi lebih teruk sekiranya diambil serentak. Contohnya, ubat selsema yang boleh menyebabkan mengantuk, diambil dengan ubat tahan sakit yang juga menyebabkan mengantuk, kesannya akan lebih tinggi.

Sewaktu anda mengambil ubat dari ahli farmasi, mereka akan menyemak interaksi ubat-ubat ini sebelum mendispen ubat kepada anda. Oleh itu, amat penting untuk anda mendapatkan ubat dari sumber yang betul dan ubat anda diperiksa sebelum sampai kepada anda.

Bagaimana untuk mengelakkan ia dari berlaku?

Sebagai pesakit, anda juga boleh memainkan peranan bagi mengelakkan interaksi ubat-ubat yang boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini berlaku kepada anda. Antara perkara yang anda boleh lakukan adalah:-

  1. Sentiasa baca label dan patuh pada arahan pemakanan ubat. Selain dos, waktu pengambilan ubat juga perlu dipatuhi.
  2. Baca sisipan ubat dalam bungkusan ubat yang diberi kepada anda. Beri perhatian pada amaran-amaran yang diberikan.
  3. Beritahu ahli farmasi sekiranya anda ada mengambil ubat-ubatan lain, selain yang dipreskrib oleh doktor. Interaksi ubat-ubat boleh berlaku diantara ubat yang dipreskrib dan suplemen atau ubat tradisional.
  4. Dapatkan rawatan dari satu klinik atau ambil semua ubat dari satu farmasi sahaja. Ini untuk memastikan rekod ubat-ubatan anda tepat dan mudah untuk disemak.
  5. Simpan preskripsi ubat-ubatan anda dengan baik.
  6. Rekodkan semua ubat yang anda ambil termasuk suplemen dan ubat tradisional beserta dengan dos yang terkini.
  7. Elakkan dari membeli ubat dari sumber yang tidak sah.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam memahami cara pengambilan ubat yang betul. Interaksi ubat-ubat ialah satu perkara yang perlu diambil serius. Tanya ahli farmasi sekiranya anda tidak pasti.