5-6 tahun lepas, saya mempunyai hobi membela ikan air masin. Seperti nemo dan dory. Saya juga ada membela batu karang.
Sesetengah batu karang mendapat makanan melalui proses fotosintesis. Mereka memerlukan pencahayaan yang cukup dan sesuai.
Waktu itu, perbincangan banyak berlaku di forum-forum. Saya teringat kisah seorang yang aktif di forum.
Dia kata, tak mahu bela batu karang. Sebabnya ialah, akuariumnya terletak di dalam bilik.
Dia risau bila waktu malam, kandungan oksigen di dalam biliknya berkurangan memandangkan batu karang hanya menjalankan fotosintesis sewaktu ada cahaya sahaja.
Kelakar kan?
Apa yang dia kata tidak salah. Sewaktu ketiadaan cahaya, oksigen akan turut digunakan oleh benda hidup seperti batu karang untuk bernafas. Pada waktu malam ia menyerap oksigen dan membebaskan karbon dioksida.
Tapi adakah ia akan memberi apa apa kesan kepada manusia? Ini adalah soalan paling penting.
Kenapa tidak risau dengan ikan yang dibela yang sentiasa bernafas siang dan malam? Kalau ada orang lain tidur sekali dengannya, bukankah kesan kekurangan oksigen lebih teruk?
Saya selalu teringat kisah ini bila terbaca atau terdengar kisah-kisah golongan tertentu yang suka menakut-nakutkan orang awam dengan perkara yang sepatutnya tidak perlu ditakuti.
Aluminium dalam vaksin? Kenapa tidak risau sedut udara? Ada aluminium juga dalam udara.
Periuk penyebab kanser. Minuman kultur penyebab kanser. Kosmetik penyebab kanser. Dan pelbagai lagi penyebab kanser.
Tahu tak ada kajian yang tunjukkan banyak pakaian yang kita pakai telah diproses dengan bahan yang boleh menyebabkan kanser? Jadi kita perlu buat apa? Berbogel?
Ya, secara teorinya ia boleh berlaku. Tapi kemungkinan untuk ia berlaku amat kecil. Tidak dapat dibuktikan dalam mana-mana kajian setakat hari ini.
Ia hanya menimbulkan kerisauan yang tidak berasas.