“Umi, macam mana ubat ni tahu dia nak pergi sembuhkan sakit dekat mana? Kita kan makan dia lepas tu masuk perut.”

Saya masih ingat yang saya pernah tanya soalan ini kepada emak saya sewaktu saya kecil. Tapi saya tak ingat apa jawapan yang emak saya beri. Lepas belajar farmasi baru saya tahu jawapannya.

Apabila sesuatu tempat pada tubuh mengalami kecederaan, badan akan menghasilkan prostaglandin. Prostaglandin akan menyebabkan rasa sakit, keradangan dan demam. Prostaglandin dihasilkan oleh enzim cyclooxygenases (COX). Terdapat dua jenis enzim COX iaitu COX1 dan COX2.

Ubat tahan sakit jenis NSAIDs seperti mefenamic acid dan diclofenac sodium akan menghalang fungsi enzim COX dan seterusnya akan mengurangkan rasa sakit, keradangan dan juga demam.

Paracetamol juga berfungsi dengan mengurangkan penghasilan Prostaglandin di dalam otak dan saraf tunjang.

Ubat tahan sakit jenis COX2 inhibitor seperti celecoxib adalah sub-class kepada NSAIDs. Cara bertindaknya hampir sama namun ia hanya menghalang enzim COX2. Oleh itu, ia kurang kesan sampingan terutamanya tidak menyebabkan rasa pedih perut seperti NSAIDs.

Satu jenis lagi ubat tahan sakit yang biasa diberi untuk kesakitan kronik adalah jenis Opioid. Opioid seperti morfin atau oxycodon akan diserap di dalam badan. Ia akan bertindak dengan melekat di reseptor-reseptor Opioid di otak dan sistem saraf tunjang. Ia kemudiannya akan mengurangkan penghantaran signal sakit ke otak. Dengan itu, pesakit tidak lagi rasa sakit walaupun punca kesakitan tersebut masih ada.

Sekarang dah tahu kan bagaimana ubat tahan sakit berfungsi?

Fahmi Hassan

Pharmacist