Sebelum ambil apa-apa ubat, pernahkah anda lihat tarikh luput ubat? Perasan tak berapa lama lagi ubat akan luput? Biasanya, tarikh luput ubat-ubatan dalam bentuk tablet adalah sangat lama. Mungkin mencapai 3 hingga 4 tahun dari tarikh dikilangkan.
Pernah tak terfikir bagaimana tarikh tersebut ditentukan? Adakah pengilang tunggu bertahun-tahun untuk tentukan ubat mereka stabil berapa lama?
Maksud tarikh luput adalah ubat tersebut dijamin terjaga dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan sepanjang tempoh yang diberi dengan syarat ia disimpan mengikut syarat yang ditetapkan oleh pengilang. Ubat yang perlu disimpan dalam suhu bilik dijamin selamat selagi mana ia disimpan di dalam sushu tersebut. Sekiranya ia disimpan di tempat yang panas, tiada jaminan kualiti ubat tersebut masih lagi sama seperti asal.
Kestabilan produk dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutamanya suhu, cahaya, kelembapan dan pH. Semakin ekstrem faktor tersebut, semakin cepat untuk ubat menjadi tidak stabil. Kebiasannya, untuk menetapkan tarikh luput, pengilang akan menjalankan prosedur ‘accelerated stability testing’.
Prosedur ini digunakan untuk memberi jangkaan terbaik tarikh luput sesuatu produk tanpa mengambil masa yang terlalu lama. Ubat akan disimpan di dalam suasana suhu, kelembapan, pH dan lain-lain yang lebih tinggi dari biasa. Dari masa ke semasa, sampel ubat akan diuji untuk menilai tahap degredasi ubat.
Data yang diperolehi seterusnya akan digunakan untuk membentuk satu model matematik dengan rumus-rumus khusus. Dengan itu, pengilang boleh menganggarkan bila ubat tersebut akan jatuh di bawah kualiti yang ditetapkan. Maka tarikh luput dapat diberi kepada ubat tersebut. Jadi tak perlulah pengilang tunggu ubat jadi tak stabil selepas beberapa tahun untuk beri tarikh luput.
Secara ringkasnya, begitulah tarikh luput ubat ditetapkan.