XXX telah digunakan sejak zaman berzaman sebagai salah satu kaedah rawatan tradisional terutamanya di India. Ia merupakan salah satu kandungan unik dalam rawatan Ayuverda.

XXX yang telah diproses didapati berupaya melindungi dan merawat struktur DNA sel (Ambwani, 2004). Ia berupaya melindungi kromosom di dalam sel darah putih manusia (Datta, 2001). Penggunaan XXX juga berupaya melindungi manusia dari proses penuaan (Kumar et al. 2004).

XXX juga berupaya merendahkan dos agen kemoterapi yang perlu digunakan untuk merawat kanser (Khanuja et al., 2002). Ia telah dipatenkan di Amerika Syarikat bagi tujuan rawatan kanser.

Terdepat dua laporan kes tentang pesakit kanser yang kembali sihat setelah dirawat dengan XXX (Dhama et al., 2005). Pesakit tersebut telah menerima rawatan dengan minum XXX yang telah diproses mengikut rejimen yang ditetapkan.

Nampak sangat menakjubkan bukan? Jadi apa sebenarnya XXX ini? Kenapa Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menggunakan bahan tersebut di hospital? Adakah mereka tunduk mengikut telunjuk gergasi farmaseutikal?

XXX adalah AIR KENCING LEMBU (COW URINE).

Ya, AIR KENCING LEMBU.

Kenapa tiada pihak yang memperjuangkan penggunaan air kencing lembu dalam perubatan di Malaysia ini? Sedangkan telah banyak kajian dilakukan keatasnya. Dan ia juga dari sumber yang sangat natural.

Sekadar ada kajian tidak bermaksud sesuatu bahan itu boleh digunakan dalam rawatan manusia. Setiap kajian itu perlu diteliti. Laporan yang perlu diteliti pula bukanlah artikel di akhbar atau buku. Sebaliknya data dan laporan asal kajian perlu disemak terlebih dahulu.

Oleh sebab itu, jangan terburu-buru. Semak, semak dan semak.

Fahmi Hassan (F. H. Abad)
Pegawai Farmasi
fb.com/fahmiabad

Rujukan:

1. Ambwani S. (2004). Molecular studies on apoptosis in avian lymphocytes induced by pesticides. PhD thesis, GBPUA&T, Pantnagar, India
2. Datta, D. (2001). Effect of Kamdhenu ark, an antioxidant on chromosomal aberration. M.Sc. Thesis, Jiwaji University, Gwalior (M.P.)
3. Kumar Atul, Kumar, P. Singh, L.K. and Agrawal, D.K. (2004a): Pathogenic effect of free radicals and their prevention through cowpathy. The Indian Cow. OctDec Issue 2:27-34.
4. K. Dhama, R.S. Chauhan and L. Singhal (2005). International Journal of Cow Science, 1(2): 1-25.