Berlegar satu ciapan seorang individu mengiklankan ubat pencegah HIV. Rasanya elok juga kita cerita sedikit tentang isu ini.

Wujudkah ubat ini sebenarnya?

Jawapannya ya.

Ubat ini dipanggil sebagai PRE EXPOSURE PROPHYLAXIS atau ringkasnya PrEP.

Rawatan ini adalah kombinasi dua jenis ubat HIV iaitu Emtricitabine dan Tenofovir.

Bezanya, ubat ini diambil secara RUTIN oleh mereka yang TIDAK MENGHIDAP HIV tetapi BERISIKO mendapat HIV.

Ia 90% berkesan mencegah HIV melalui seks dan 70% berkesan mencegah HIV melalui suntikan sekiranya diambil secara HARIAN.

Ya, ambil setiap hari, bukan ikut suka hati apabila perlu. Ubatan ini memerlukan PRESKIPSI DOKTOR dan tidak boleh dibeli secara sembarangan.

Hanya individu yang BEBAS HIV boleh mengambil PrEP. Doktor perlu mengesahkan status anda sebelum ia dipreskrib.

Kebiasaannya, ia akan dipreskrib kepada pasangan kepada pesakit HIV.

Ia juga mungkin diberi kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi.

Penggunaan ubat ini memerlukan pemantauan dari doktor. Walaupun secara amnya ia selamat, fungsi HATI dan BUAH PINGGANG perlu dipantau secara berkala.

Dapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika anda mempunyai risiko jangkitan dan memerlukan penerangan lanjut.