‘Sully’ merupakan sebuah cerita mengenai Captain Chesley Sullenberger yang dilakonkan oleh Tom Hanks. Ia berasaskan kisah benar di mana juruterbang pesawat US Airways telah berjaya mendaratkan kapal terbang di atas air dengan selamat.

Walaupun berjaya menyelamatkan banyak nyawa, pilihan Captain Sully untuk mendaratkan kapal terbangnya di Sungai Hudson telah menimbulkan banyak persoalan.

Ini kerana simulasi kejadian sebenar menunjukkan Captain Sully sebenarnya sempat mendaratkan kapal terbang tersebut di lapangan terbang yang terdekat.

Captain Sully membantah keputusan simulasi tersebut. Ini kerana ‘human factor’ atau faktor manusiawi dalam menghadapi bencana tidak diambil kira sewaktu simulasi dijalankan.

Akhirnya setelah faktor tersebut diambil kira, dengan memasukkan tempoh masa juruterbang membuat keputusan dalam membuat keputusan, simulasi menunjukkan pilihan Captain Sully mendaratkan kapal terbang di Sungai Hudson merupakan keputusan yang bijak.

Kadangkala, dalam cubaan untuk menyelesaikan masalah, kita sering terlupa mengambil kira bahawa kita berurusan dengan manusia normal yang mempunyai banyak ragam dan perangai.

Sebagai contoh, hampir semua orang Islam tahu bahawa solat itu wajib. Solat yang sempurna dapat membentuk keperibadian yang baik. Namun begitu, masih ramai yang memilih untuk tidak melaksanakan solat.

Pilihan untuk melakukan solat terletak pada individu itu sendiri (dengan hidayah Allah). Bagaimana hebat pun seseorang itu dipaksa, agak sukar untuk dia melaksanakan solat walaupun dia sedar tentang kepentingan solat.

Begitu juga dalam mematuhi rawatan ubat-ubatan. Sekiranya cara paksaan dan ancaman digunakan, ia tidak mampu untuk mengubah perilaku pesakit.

Apa yang penting adalah memastikan keputusan untuk mengambil ubat datang dari pesakit. Bagaimana untuk memandu seorang pesakit dalam membuat keputusan itu perlulah menggunakan teknik-teknik dorongan yang lebih baru dan berdasarkan bukti dari kajian yang baik.

Saya percaya untuk mengubati manusia, perawat juga perlu lebih bersifat manusia.