Peninglah batal ke tak batal isu inhaler ni! Macam mana nak jelaskan bila pesakit tanya?
Sebenarnya mudah sahaja. Ahli farmasi perlu baca hujah pihak yang kata batal dan yang kata tak batal. Kalau di Malaysia, paling jelas rujuk pendapat JAKIM dan Mufti WP. Fahamkan dan kemudian pilih pendapat yang anda yakin.
Kemudian, bila pesakit tanya, terangkan kedua-dua pendapat. Selepas itu, beritahu pesakit anda setuju dengan pendapat yang mana.
Contohnya, jika saya ditanya oleh pesakit, saya akan jawab seperti ini:
“Ada dua pendapat tentang hukum guna inhaler waktu berpuasa. JAKIM kata batal kerana terdapat partikel ubat yang melepasi kerongkong dan masuk ke dalam perut.”
“Mufti WP pula kata tak batal. Ini kerana, satu semburan inhaler hanya mempunyai isipadu beberapa titis air. Air yang tertinggal di dalam mulut semasa berkumur jauh lebih banyak berbanding kandungan dalam satu semburan inhaler. Seperti yang kita tahu, berkumur tidak membatalkan puasa. Selain itu, inhaler bukan digunakan suka-suka. Ia keperluan kesihatan yang mendesak.”
“Saya berpegang dengan pendapat Mufti WP yang penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa”
Bagaimana pula kalau pesakit tak bersetuju dengan pendapat kita?
“Tiada masalah jika encik tetap berpegang yang penggunaan inhaler membatalkan puasa. Ia juga pendapat yang diiktiraf dan dikeluarkan oleh badan berautoriti.”
“Jika encik masih keliru, boleh rujuk kepada ustaz-ustaz atau ahli agama yang encik yakini. Semoga urusan ibadah puasa kita dipermudahkan dan diterima tuhan.”
Mudah kan?
PU Fahmi Hassan
Pharmacist Ummah