Saya pernah kemalangan jatuh dari motosikal sewaktu di tingkatan 4. Saya mengalami luka-luka kecil. Oleh kerana kecederaan tidak serius, saya ambil keputusan untuk tidak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Di rumah, saya cuma sapu luka dengan minyak gamat. Setelah dua hari, luka saya menjadi merah, bengkak dan bernanah. Baru saya ambil keputusan untuk ke klinik.

Doktor yang memeriksa mengatakan luka saya telah dijangkiti kuman. Punca jangkitan berkemungkinan besar adalah dari minyak gamat yang saya guna.

Rawatan yang pada asalnya ‘harmless’ atau tidak berbahaya akhirnya mendatangkan mudarat yang lebih teruk kepada saya. Semenjak hari itu, saya lebih berhati-hati dalam mengamalkan sebarang petua.

Begitulah juga dengan petua merawat HFMD dengan kunyit, kapur atau apa-apa bahan lain. Tidak dinafikan, banyak sumber semulajadi mempunyai potensi sebagai pemusnah kuman dan virus. Namun begitu, yang dibuktikan benar-benar berkesan terlalu sedikit.

Pesakit HFMD akan mengalami ruam dan ‘blister’. Kadangkala, lapisan kulit di ruam dan blister ini mungkin terkoyak dan menyebabkan luka.

Sekiranya bahan yang disapu di atas permukaan kulit itu telah dikontaminasi dengan kuman, masalah lain akan timbul. Pesakit terdedah dengan jangkitan lain sepertimana yang saya alami sewaktu di tingkatan 4.

Oleh itu, oleh kerana penyakit HFMD ini kebiasaannya akan sembuh sendiri, saya nasihatkan untuk pesakit patuh dengan arahan doktor. Ubat mungkin diberi untuk melegakan kesakitan dan kegatalan.

Elakkan perbuatan yang berisiko menyebabkan HFMD menjadi lebih teruk seperti menyapu bahan-bahan yang tidak terjamin kebersihannya seperti kunyit dan kapur. Komplikasi yang berlaku boleh menyababkan pesakit menjadi lebih teruk.

Penting juga untuk tidak menyebarkan jangkitan tersebut dengan membawa pesakit ke tempat awam.