Siapa tak kenal dengan Syed Azmi? Beliau kini aktif membantu kanak-kanak mangsa penderaan seksual (pedofilia). Boleh kata hampir setiap hari ada sahaja cerita pengalaman mangsa mangsa jenayah ini dikongsinoleh beliau. Setiap hari juga ada pembaca pembaca yang minta beliau berhenti dari berkongsi kisah kisah begitu.
Kerana apa? Kerana kebenaran itu pahit. Banyaknya jenayah ini berlaku di sekeliling kita tanpa sedar buat kita rasa tidak selesa. Kita lebih selesa untuk tidak tahu dan memilih untuk tidak mendengar.
Terbaca satu respon kepada filem #PEKAK yang agak viral. Katanya filem tersebut membuatkan penulis rasa tidak selesa. Kerana apa?
Adakah hubungan seksual luar nikah di kalangan remaja tidak berlaku?
Adakah gejala dadah dan ketagihan perkara yang baru dalam masyarakat?
Tiadakah kisah perempuan yang ditipu lelaki dengan kasih dan sayang dan ditinggalkan selepas nafsu dipenuhi?
Palsukah cerita jenayah rogol di kalangan remaja oleh orang yang dikenali?
Tidak wujudkah kes kes ibu bapa tertipu oleh anak anak akibat dari meletakkan kepercayaan membabi buta kepada mereka?
Kebenaran itu pahit. Saya rasa seolah olah ditampar berulang ulang kali. Saya juga rasa marah dan menggigil. Tapi bukan kerana ini cerita yang bodoh. Ini cerita benar yang menjadikan saya ingin mendengar.
Sedarlah, masyarakat kita sakit sudah lama. Masalah perkauman, ketirisan, gejala sosial, kurang harga diri, dadah, pelacuran dan banyak lagi ada di sekeliling kita. Kita yang memilih untuk menjadi #PEKAK. Kerana jadi #PEKAK itu mudah.
Bila karya tempatan cuba memberi sesuatu yang baru, cepat sungguh kita melatah. Sedangkan tonton pun belum lagi. Maka kembalilah karya karya kita kepada seni yang membudayakan kebodohan dan angan angan.
Adakah gelak tawa yang penulis tersebut dengar adalah gelak tawa akibat dari rasa lucu? Ataupun itu gelak tawa kekok remaja bila mana cerita cerita dosa mereka dipampang? Tiada respon yang boleh diberi, hanya tawa untuk menutup resah diri.
Tonton bukan sekadar lihat. Tonton dan faham.
F. H. Abad – tak ingin jadi bisu
10 September 2016