
Kami terpanggil untuk memberikan sedikit respon berkenaan pengalaman seorang pegawai farmasi di sebuah hospital yang cuba untuk mendapatkan maklumat berkaitan ubat-ubatan pesakit beliau yang dibekalkan oleh sebuah klinik swasta.
Masalah pengecaman ubat-ubatan pesakit sering berlaku sewaktu pesakit dimasukkan ke wad. Ini kerana bungkusan ubat-ubatan yang dibawa mereka tidak dilabel dengan betul. Sebagai contoh, dalam kes tersebut, salah satu bungkusan ubat hanya dilabel dengan ‘DARAH TINGGI’. Terdapat banyak jenis ubat darah tinggi di pasaran. Dan bagi setiap jenis, terdapat banyak jenama yang mempunyai perbezaan dari segi bentuk dan warna. Oleh itu amat sukar bagi doktor di hospital untuk menentukan rawatan seterusnya untuk pesakit.
Antara label-label lain yang ditulis di bungkusan ubat adalah ‘TENAGA BADAN’ (2 bungkusan) dan ’INFLAMASI’. Label-label seperti ini tidak menepati ciri pelabelan ubat yang selamat dan menyebabkan kemungkinan berlakunya kesilapan ubat-ubatan.

Oleh itu, suka untuk kami nasihatkan tuan-puan untuk sentiasa mengambil berat tentang ubat-ubatan anda tidak kira samaada diperolehi dari klinik atau dibeli di farmasi. Perkara paling asas adalah bungkusan ubat anda perlu mengandungi label-label yang lengkap. Ciri-ciri label yang lengkap perlulah mengandungi maklumat berikut:-
- Nama dan alamat klinik/farmasi
- Nama penuh ubat dan kekuatan (Contoh: Tab. Paracetamol 500mg)
- Nama pesakit
- No pendaftaran pesakit
- Arahan/cara pengambilan ubat yang lengkap (Contoh: Makan 1 biji pil, 3 kali sehari selepas makan)
- Tarikh ubat dijual atau dibekalkan
Maklumat-maklumat di atas amat penting bagi mengelakkan kekeliruan dan kesilapan sewaktu pesakit mengambil ubat-ubatan. Orang awam juga perlu dilatih untuk mengingati nama penuh semua ubat yang diambil dan kekuatannya, terutamanya bagi ubat-ubatan penyakit kronik. Sebagai contoh, pesakit kencing manis perlu tahu nama ubat ‘Metformin 500mg’ ketika ditanya oleh pegawai farmasi atau doktor dan bukannya hanya menyatakan ‘pil putih, bulat dan besar’.
Sekiranya anda menerima ubat-ubatan dari klinik tanpa label yang lengkap, anda berhak untuk meminta supaya semua maklumat tersebut ditulis di bungkusan ubat anda. JANGAN TINGGALKAN KAUNTER PENGAMBILAN UBAT SEKIRANYA ANDA TIDAK FAHAM CARA PENGAMBILAN UBAT ANDA 100%.
Kes yang dikongsi oleh pegawai farmasi tersebut juga agak menarik kerana berlaku kesalahan di antara maklumat yang dibekalkan oleh doktor di klinik tersebut dengan jenis ubat yang dibawa oleh pesakit. Doktor tersebut memaklumkan ubat ‘INFLAMASI’ yang diberikan adalah Tablet Papase. Walaubagaimanapun, setelah dikenalpasti, ubat tersebut sebenarnya adalah TABLET PREDNISOLONE, sejenis steroid yang sering disalahguna.
Kami tidak mempunyai maklumat mengenai kes tersebut dan samaada penggunaan steroid dalam rawatan pesakit ini adalah perlu atau tidak. Namun begitu penyalahgunaan steroid adalah satu isu yang tidak boleh dipandang ringan. Sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sering menggunakan steroid sebagai jalan mudah untuk mengurangkan inflamasi daan seterusnya meredakan kesakitan tanpa keperluan yang mendesak.

Di antara kesan sampingan penggunaan steroid yang tidak terkawal adalah pertambahahan berat badan yang mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab dan bulat atau lebih dikenali dengan istilah “moon face”. Pesakit yang mengalami gastrik, perokok atau pengguna alkohol berpotensi besar untuk mendapat ulser pada organ pencernaan seperti di perut dan usus apabila mengambil steroid.
Pengambilan steroid dalam jangka masa panjang pula, akan mengakibatkan tulang menjadi rapuh yang menyebabkan tulang menjadi tidak kuat dan mudah patah walaupun terkena hentakan yang perlahan. Bukan itu sahaja, malah penggunaan steroid dalam jangka masa yang panjang boleh merosakkan buah pinggang dan mendedahkah penggunanya kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Oleh sebab itu, pesakit perlu sentiasa peka dan kenal dengan ubat-ubatan yang diambil atau dipreskrib kepada mereka. Kesedaran pesakit tentang perkara ini dapat membantu pesakit menjaga kesihatan sendiri dan juga mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
Mungkin ada di antara pembaca mempersoalkan mengapa seorang pegawai farmasi perlu menghubungi doktor di klinik swasta dalam kes seperti ini. Kebiasaannya urusan berkaitan pengecaman ubat-ubatan tidak berlabel dilakukan oleh pegawai farmasi kerana mereka lebih maklum tentang bentuk-bentuk dan warna pil dari pelbagai jenis dan jenama ubat dan juga mempunyai akses kepada database sistem pengecaman pil.
Kami tidak dapat memberikan komen terhidap sikap profesionalisma doktor seperti yang dibangkitkan. Secara amnya, mengikut pengalaman, kerjasama di antara profesion berjalan dengan baik dan profesional.
Kerjasama merentas profesion ini sebenarnya telah lama terjalin di negara-negara maju samaada di hospital-hospital ataupun melalui sistem pengasingan pendispensan. Aktiviti semak silang preskripsi yang diberikan doktor oleh pegawai farmasi boleh mengurangkan risiko kesilapan ubat dan dos. Di Malaysia, sebagai pesakit, anda boleh mengambil ubat di klinik yang merawat atau meminta preskripsi untuk mendapatkan bekalan di farmasi.
Sebagai penutup, kami ingin tegaskan sekali lagi kepentingan untuk ubat-ubatan dilabel dengan lengkap seperti mana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Pesakit juga perlu ambil berat berkenaan ubat-ubatan dan perlu tahu maklumat-maklumat penting seperti nama ubat, kekuatan dan aturan pemakanan. Kenal Ubat, Insyaallah Selamat.