Majoriti yang menyokong penggunaan vape memetik kajian dari Public Health England yang mengatakan vape adalah 95% lebih selamat berbanding rokok. Saya tidak menafikan pernyataan ini.

Namun begitu, kajian tersebut tidak lepas dari kritikan. Memandangkan penyokong vape tidak mengiktiraf pandangan ahli profesional kesihatan Malaysia, saya akan petik beberapa kritikan pakar dari luar negara ke atas kajian tersebut.

Kenyataan vape adalah 95% lebih selamat berbanding rokok datang dari rumusan perbincangan sekumpulan ‘pakar’ pada tahun 2013.

Dr Padmanabhan Badrinath, seorang pensyarah kesihatan awam di UK mengkritik rumusan tersebut di atas beberapa faktor:-

1. Terdapat limitasi dalam bentuk bukti yang kukuh terhadap risiko dan keselamatan semua bahan yang dinilai.

2. Tiada kriteria ditetapkan dalam pemilihan pakar dalam perbincangan tersebut.

3. Terdapat beberapa pakar yang mempunyai konflik kepentingan kerana menerima dana dari syarikat pengedar rokok eletronik, LIAF (persatuan yang menyokong rokok eletronik sebagai pengganti rokok) dan menjadi konsultan kepada syarikat yang mengilang peranti berhenti merokok.

Di atas sebab-sebab tersebut, editor jurnal di mana kajian Public Health England itu diterbitkan turut meletakkan nota yang menyatakan terdapat kemungkinan kajian ini dipengaruhi oleh konflik kepentingan pakar-pakar yang terlibat.

Kajian tersebut juga turut dikritik melalui ruangan editorial The Lancet, sebuah jurnal perubatan berkualiti dalam bidang perubatan. Ia merumuskan yang PHE gagal membuktikan misinya untuk melindungi dan memajukan kesihatan awam melalui penerbitan sebuah kajian yang lemah dan dipengaruhi oleh konflik kepentingan penulisnya.

Selain itu, Professor Martin McKee dari School of Hygiene and Tropical Medicine London turut menyuarakan kejanggalan dalam rumusan kajian PHE tersebut. Beliau menempelak PHE sebagai mencuba seboleh mungkin untuk mempromosi rokok eletronik walaupun pakar-pakar lain dari seluruh dunia telah memberi amaran tentang risiko rokok eletronik.

Badan perubatan besar dunia, European Respiratory Society (ERS) dan ketua program kesihatan awam US, US Surgeon General turut mengkritik cadangan penggunaan rokok eletronik sebagai alat bantuan berhenti merokok akibat dari kekurangan bukti keberkesanan den keselamatannya.

Sebagai kesimpulan, setakat ini hanya PHE yang menyatakan rokok eletronik 95% lebih selamat. Ia adalah kajian yang dikritik oleh pakar-pakar di seluruh dunia, termasuk di England sendiri.

Fahmi Hassan

Pharmacist

Rujukan:

https://www.bmj.com/content/363/bmj.k5429/rr-0

Nutt D, J, Phillips L, D, Balfour D, Curran H, V, Dockrell M, Foulds J, Fagerstrom K, Letlape K, Milton A, Polosa R, Ramsey J, Sweanor D: Estimating the Harms of Nicotine-Containing Products Using the MCDA Approach. Eur Addict Res 2014;20:218-225. doi: 10.1159/000360220

E-Cigarettes: Public Health England’s evidence based confusion. Editorial. The Lancet.2015 Aug 29;386(9996):829. doi: 10.1016/S0140-6736(15)00042-2.

Bals R, Boyd J, Esposito S, et al. Electronic Cigarettes – Task Force report from the European Respiratory Society. Eur Respir J 2018; in press (https://doi.org/10.1183/13993003.01151-2018).

https://e-cigarettes.surgeongeneral.gov/documents/surgeon-generals-advisory-on-e-cigarette-use-among-youth-2018.pdf

‘Stop ignoring the dangers of vaping’: Scientist accuses Public Health England of turning a blind eye to risks of e-cigarettes