Beberapa minggu lepas heboh di akhbar dan media sosial tentang penangguhan tayangan filem animasi Beauty and the Beast yang dikhabarkan disebabkan oleh beberapa adegan yang merujuk kepada hubungan songsang lelaki dan lelaki.

Perkara ini mendapat respons yang hangat dari pelbagai pihak. Ada yang mencemuh dan tidak kurang juga ada yang menyokong. Ini mengambil kira budaya dan kepercayaan setempat yang merasakan amalan ini tiada tempat di hati rakyat Malaysia.

Akhirnya filem itu tetap ditayangkan tanpa sebarang potongan. Aku sendiri telah pergi menonton filem tersebut. Ternyata terdapat beberapa adegan kecil yang mungkin membawa maksud seperti yang dikhabarkan. Akan tetapi, ianya terlalu singkat dan hanya ditonjolkan dalam masa beberapa saat sahaja.

Aku kira, pertimbangan yang tepat telah dilakukan oleh pihak-pihak yang berwajib. Kesesuaian penayangan filem tersebut telah dijustifikasikan dengan meletakkan syarat penonton di bawah umur 13 tahun perlu dibimbing oleh ibu bapa atau penjaga.

Sewaktu di rumah, aku menonton rancangan popular Maharaja Lawak Mega. Terlihat persembahan dari kumpulan pelawak Shiro dan juga artis jemputan mereka Jaafar Onn.

Apa yang memeranjatkan aku adalah hampir separuh dari sketsa mereka menonjolkan perhubungan songsang antara lelaki dengan lelaki. Adegan cubaan mencium, cakap-cakap manja, berpegang tangan dilakukan tanpa selindung. Amat berbeza dengan adegan dari filem animasi Beauty and the Beast.

Sebenarnya apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang pelik di Malaysia. Masyarakat lebih gemar mempolemikkan sesuatu isu kecil sambil memandang enteng isu yang lebih besar.

Adegan lakonan lawak dan lucu bentuk ini telah terlalu lama dibudayakan dalam masyarakat sehingga dipandang sebagai sesuatu yang amat biasa. Tonton saja klip-klip lucu dari pelawak tempatan, pasti kau akan jumpa komedi berasaskan hubungan songsang seperti ini.

Betapa hipokritnya kita. Adegan kecil dari filem luar negara dikecam sebegitu rupa sedangkan perkara itu sebenarnya telah berakar umbi di dunia hiburan selama ini. Saban hari ada sahaja rancangan di tv dan radio yang memaparkan adegan hubungan sejenis seperti ini.

Artis dan selebriti, terutamanya pelawak mempunyai golongan pengikut yang amat besar di Malaysia. Seharusnya, mereka dan syarikat penerbitan perlu sentiasa sedar yang kelakuan mereka mudah untuk menjadi contoh dan ikutan.

Maharaja Lawak Mega sepatutnya adalah rancangan yang selamat untuk ditonton oleh umum. Namun begitu, aku sendiri tidak selesa untuk menonton rancangan ini bersama-sama keluarga.

Tiada gunanya kita menjadi hipokrit untuk menentang unsur-unsur yang dikatakan dakyah barat sedangkan industri kita sendiri yang menyuburkan hiburan seperti itu.