Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa tulisan ini tidak bertujuan merendahkan atau mempertikaikan produk yang dikeluarkan oleh mana-mana pengeluar.

Saya hanya ingin mengelakkan berlaku salah faham di atas hukum penggunaan sanitiser berasaskan alkohol yang digunakan secara meluas pada masa ini.

Alkohol dalam bentuk isopropyl alcohol dan etanol digunakan secara meluas sebagai sanitiser kerana ia bertindak sebagai disinfectant yang berupaya membunuh kulat, virus dan bakteria di permukaan. Pada kepekatan 60% – 90%, ia berupaya membunuh atau merencat perkembangan mikroorganism.

Terdapat kekeliruan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat awam berkaitan arak (al khamr الخمر) dan alkohol. Alkohol dari sudut kimia bukanlah hanya bermaksud etanol yang merupakan alkohol yang terdapat dalam arak, minyak wangi dan sesetengah ubat-ubatan. Terdapat banyak jenis alkohol seperti etanol, metanol, propanol dan butanol.

Walaupun etanol terdapat di dalam arak yang memabukkan (al kahmr), tidak semua etanol adalah arak. Etanol boleh terhasil dari proses fermentasi secara semula jadi seperti tapai dan budu. Walaupun makanan ini mempunyai etanol, ia harus dimakan kerana etanol yang terhasil bukanlah dari proses penghasilan arak.

Etanol yang digunakan dalam industri farmaseutikal bukanlah sesuatu najis dan tidak tergolong dalam maksud arak atau al khamr. Namun begitu, ia haram diminum dalam bentuk asalnya kerana ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan boleh menyebabkan kematian.

Selain digunakan sebagai disinfectant, alkohol, sama ada etanol atau dalam bentuk lain digunakan sebagai pelarut atau bahan tambahan dalam ubat untuk menjamin kestabilan produk. Alkohol dalam bentuk dosej farmaseutikal seperti ini adalah harus diminum memandangkan ia berada pada dos yang telah dikaji selamat kepada manusia.

Oleh sebab itu, usah was was tentang hukum menggunakan sanitiser yang berasaskan alkohol. Ia bukan saja mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi malah harus digunakan kerana ia bukan dikategorikan sebagai najis.

*update:

Bagi yang bertanya, saya tidak tahu bahan aktif dan juga keberkesanan produk ini. Saya beranggapan ia telah diuji dengan baik sebelum dipasarkan. Mungkin boleh berhubung dengan syarikat untuk maklumat lanjut.

Fahmi Hassan

Pharmacist

www.fahmihassan.net