Ke hadapan kekanda yang dikasihi,

Adinda kini dalam perjalanan darat 45 minit dari bandar metropolitan Petaling Jaya. Adinda tidak boleh tidur kerana sedang memandu. Sementalahan pula, sudah menjadi pengetahuan umum keadaan trafik di lebuhraya sekitar Lembah Klang. Walaupun bertol, masih lagi digunakan rakyat jelata sekalian. Semoga kekanda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku pemimpin.

Kekanda,

Adinda pernah mengkagumi kekanda satu masa dahulu. Pada waktu itu, kekanda datang membawa keajaiban. Sebuah alat bersumbu yang mempunyai teknologi yang tidak terjangkau masyarakat masa kini. Alat yang mampu membuatkan molekul minyak menjadi bulat dan solid. Tidaklah adinda tahu keadaan molekul minyak pada keadaan biasa. Mungkin bersegi lima.

Kekandaku,

Adinda masih menunggu bila masanya akan tiba untuk kami anak-anak muda bermotor dapat mengecapi kemajuan teknologi bawaan kekanda itu. Kekanda juga tahu, hari ini, harga minyak jauh lebih tinggi. Adinda merayu.

Kekanda tersayang,

Kini kekanda datang lagi dengan keajaiban terbaharu. Satu teknologi perubatan yang menjangkau kepandaian pakar-pakar perubatan di negara ini. Penemuan baru spesis marijuana yang tidak pernah didengar oleh mana-mana pengkaji di Malaysia. Aduh, semakin hari, semakin tinggi rasa takjub adinda kepada kekanda.

Pakar-pakar di Malaysia hanya tahu tentang Cannabis sativa, indica, ruderalis atau spesis-spesis lain yang biasa. Hanya mampu kaji tentang hemp dan marijuana. Bacaannya hanya tentang delta-9-tetrahydrocannabinol, cannabidiol, cannabidiolic acid, cannabinol atau ratusan komponen aktif lain. Adinda yakin kekanda tahu ribuan lagi komponen yang belum pernah dikaji oleh orang lain.

Belum disebut tentang rawatan pesakit-pesakit kita. Adinda yakin, kekanda lebih arif. Sudah pasti kekanda telah merawat ribuan pesakit. Akan tetapi dengan sifat kekanda yang suka merendah diri, perkara itu kekanda sorok untuk mengelakkan sikap riak dan takbur.

Kekandaku yang ulung,

Doktor-doktor di Malaysia ini kesemuanya bodoh. Tidak reti membaca kajian, apatah lagi mampu untuk membuat kajian sendiri. Adinda tahu, jika kita cari di laman carian saintifik, tak mungkin ada nama orang Malaysia tersenarai. Jika ada pun nama mereka adinda yakin, itu hanyalah Yahudi yang menggunakan nama orang Islam untuk memburukkan kita.

Lihat sahaja di Malaysia ini, mana ada universiti yang mampu mencipta teknologi secanggih teknologi kekanda. Semuanya hanya boneka-boneka barat yang mengajar ilmu-ilmu fitnah ciptaan dajjal. Tidak pernah sedikit pun adinda sangsi, ilmu sebenar hanya ada pada kekanda. Dan hanya kekanda seorang yang mampu menghilangkan kegelapan yang menutup mata ahli-ahli sains bodoh di negara ini.

Kekandaku sayang,

Akhir kalam terimalah salam adinda dari hati yang merindui Malaysia Baharu tanpa kebencian terhadap teknologi mistik yang tidak mampu mereka rungkai. Kenderaan adinda menghampiri plaza tol dan adinda perlu menggunakan tangan untuk menghulur kad pra-bayar bagi membayar tol. Adinda berharap, satu masa nanti, kekanda dapat juga mencipta teknologi baru yang boleh menjimatkan bayaran tol juga.

Adios..

Yang benar,

Adinda FH Abad

(Perjalanan darat dari PJ ke Shah Alam)