Proses carian kajian bagi menjalankan literature review penting untuk seseorang pengkaji mengetahui kajian-kajian sedia ada dalam bidang yang menjadi fokus.

Kita dapat menilai kualiti kajian sedia ada sama ada boleh dijadikan asas untuk sesuatu rawatan atau tidak. Ia juga boleh digunakan untuk menilai kelompongan untuk menjalankan kajian-kajian baru.

Carian ini perlu dilakukan secara sistematik dan dengan strategi tertentu. Masing-masing ada strategi yang selalu digunakan. Saya ingin kongsi strategi asas yang saya selalu guna. Strategi ini penting bagi memastikan hasil carian kita hanyalah artikel yang benar benar relevan sahaja.

Sebagai contoh, saya ingin mencari maklumat sama ada Mas Cotek boleh mengurangkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes.

Pertamanya, kita kena fokuskan persoalan kita kepada 3 iaitu Population, Intervention dan Outcome. Bagi contoh yang saya beri, ia akan jadi seperti ini.

Population: Pesakit diabetes

Intervention: Mas Cotek

Outcome: Gula

Langkah seterusnya adalah fikirkan perkataan sinonim yang boleh bawa maksud yang sama dalam ketiga-tiga perkata tadi. Contohnya:

Diabetes/ Diabetic

Mas Cotek/ Ficus deltoidea

Glucose/ HbA1c

Ini hanya contoh. Tuan/puan perlu fikir sinonim yang boleh digunakan untuk memberi maksud yang sama dengan apa yang ingin dicari.

Saya biasa gunakan pubmed kerana databasenya banyak kajian berkenaan biomedikal. Boleh ke pautan https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov. Jangan guna ruang carian biasa. Pilih carian “advanced”

Semasa carian, gunakan operator Boolean OR, AND dan NOT. Rujuk gambar ya bagi langkah-langkah seterusnya. Saya tanda dalam gambar.

#1 Mula dengan carian keywords untuk Population. Guna Boolean OR bagi setiap sinonim. Lakukan carian pada ruang “TITLE AND ABSTRACT” bagi semua langkah ini. Tekan “ADD TO HISTORY”. Ada lebih 700 ribu artikel.

#2 Lakukan carian keywords untuk Intervention. Guna Boolean OR bagi setiap sinonim. Tekan “ADD TO HISTORY”. Ada 43 artikel.

#3 Lakukan carian keywords untuk Outcome. Guna Boolean OR bagi setiap sinonim. Tekan “ADD TO HISTORY”. Ada lebih 580 ribu artikel.

#4 Lakukan carian dengan meletakkan #1 AND #2 AND #3. Yeay, ada 7 artikel yang perlu dibaca.

Tapi bila saya baca tajuk sekali lalu, banyak artikel dijalankan ke atas tikus. Waktu ini, Boolean NOT sesuai digubakan.

Bila saya letakkan Boolean NOT untuk MOUSE, RODENT dan RAT, hasil carian hanya tinggal 2 artikel.

Maksudnya, jika saya gunakan strategi ini, saya hanya perlu baca dan nilai 2 artikel sahaja yang relevan untuk saya.

Semoga membantu!