Pada tahun 2008, seorang doktor bernama Sapan Desai, telah menubuhkan sebuah syarikat berkaitan perubatan dan kesihatan yang diberi nama Surgisphere Corp. Pada awalnya, syarikat tersebut menerbitkan buku teks perubatan untuk pelajar perubatan. Kemudian, fokus syarikat beralih arah kepada penerbitan jurnal.

Pada April 2019, Dr. Desai telah menerbitkan sebuah artikel yang menunjukkan potensi keberkesanan sejenis ubat anti-parasit, ivermectin, dalam rawatan pesakit Covid-19 di hospital. Maklumat pesakit yang diguna pakai diperolehi dari bank data Surgisphere Corp. yang dikatakan mengumpulkan data dari hospital-hospital seluruh dunia secara elektronik.

Namun begitu, pada bulan Mei 2019, sekumpulan pengkaji telah mendapati terdapat keraguan di dalam data yang digunakan dalam kajian tersebut. Mereka telah menghantar e-mel kepada Dr. Desai untuk memohon penjelasan. Namun begitu, isu tersebut tidak mendapat penjelasan yang terperinci.

Antara isu yang dibangkitkan adalah data yang digunakan mempunyai perbezaan yang sangat besar dengan laporan-laporan rasmi yang dikeluarkan oleh negara-negara yang dirujuk. Apa yang lebih pelik, terdapat data yang sangat banyak dari negara-negara yang diketahui tidak menggunakan rekod elektronik di hospital mereka.

Malangnya, dengan merujuk kepada penerbitan tersebut, beberapa buah negara di Amerika Latin telah mula mengguna pakai ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan penyakit Covid-19. Di antara negara yang paling awal menggunakannya adalah Peru.

Selain itu, terdapat beberapa kajian yang mengguna pakai data Surgisphere Corp. didapati menghadapi masalah yang sama. Data-data yang digunakan didapati diragui dan menyebabkan beberapa kertas kajian yang menggunakan data tersebut ditarik semula. Akhirnya, pada 31 Mei 2019, kertas kajian berkaitan ivermectin tersebut turut diturunkan dari laman web SSRN.

Namun begitu, kesan dari penerbitan kertas kajian ini tidak dapat dihentikan. Negara-negara yang menjadikan kertas kajian ini sebagai asas polisi penggunaan ivermectin bagi Covid-19 tetap mengekalkan polisi tersebut walaupun amaran tentang keraguan terhadap keberkesanannya telah dikeluarkan oleh WHO.

Melangkau ke tahun 2020, sebuah lagi kajian besar berkaitan ivermectin telah diterbitkan di laman web Research Square. Ia merupakan hasil kajian Dr Ahmed Elgazzar dan pasukannya dari Mesir. Kajian ini merupakan ujian klinikal Randomised Clinical Trial (RCT) yang menunjukkan ivermectin berkesan dalam mengurangkan kadar kematian pesakit Covid-19.

Memandangkan ia kajian yang melibatkan 400 pesakit, ujian klinikal terbesar bagi ivermectin, hasil kajian ini telah digunakan sebagai asas dan rujukan bagi penggunaan ivermectin untuk rawatan Covid-19. Beberapa kertas kajian ‘meta-analysis’ yang mengguna pakai kajian ini juga menunjukkan keberkesanan ivermectin.

Namun begitu, pada bulan Jun 2021, sekali lagi terdapat kontroversi. Kajian ini didapati mempunyai isu plagiat dalam perenggan pembukaan. Jenis analisis statistik yang digunakan juga didapati tidak sesuai. Selain itu, terdapat keraguan yang ketara dalam data pesakit yang digunakan semasa analisis.

Kandungan data pesakit didapati dimasukkan secara berulang-ulang. Data ini disyaki disalin-tampal berulang kali bagi mendapatkan jumlah sampel yang besar. Tidak diketahui sama ada ia disengajakan atau merupakan kesilapan dari kumpulan penyelidik.

Walaubagaimanapun, kajian tersebut telah ditarik semula dari diterbitkan setelah penulis tidak memberikan maklum balas terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Ini merupakan kertas kajian berkaitan ivermectin yang kedua ditarik semula dari penerbitan setelah skandal Surgisphere Corp. sebelum ini.

Pada 16 Julai yang lalu, sekumpulan pakar kesihatan awam dari Universiti Malaya telah menganjurkan sebuah seminar berkaitan penggunaan ivermectin secara evidence based practice. Isu artikel Dr. Elgazzar ini turut disentuh. Menariknya, apabila artikel tersebut dikeluarkan dari beberapa kajian ‘meta-analysis’, didapati keputusan analisis menunjukkan ivermectin tidak berkesan, atau hampir tidak berkesan dalam merawat Covid-19.

Dua insiden ini sepatutnya mengajar kita tentang keperluan menimbang bukti klinikal secara teliti dan jitu sebelum sesuatu cadangan rawatan dikeluarkan terhadap pesakit, apatah lagi untuk diangkat sebagai sebuah polisi awam. Isu perubatan dan kesihatan ini sepatutnya tidak dipolemikkan terutamanya oleh mereka yang bukan merupakan ahli profesional kesihatan.

Ingin ditegaskan, ini bukanlah tulisan dengan tujuan memburukkan ivermectin. Ia hanya satu teguran untuk kita melihat praktis evidence based medicine perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh bagi mengelakkan kekeliruan atau kesilapan dalam memutuskan sesuatu polisi kesihatan awam.

Tekanan-tekanan dan hasutan-hasutan termasuk yang dikaitkan dengan politik sepatutnya tidak berlaku dalam proses pemilihan rawatan bagi masalah kesihatan awam. Sains bukanlah demokrasi yang mana suara majoriti perlu didengar. Ia tertegak dengan sistem dan prinsip pembuktian yang jelas.

 

Fahmi Bin Hassan

B.Pharm, M.Sc (Clin. Pharmacy)

Pharmacist