Return to site

UNDANG-UNDANG BUKAN HANYA UNTUK MENGHUKUM

Peraturan yang meghalang perokok merokok di mana-mana kedai makan perlu dilihat lebih luas dari konteks penguatkuasaan. Yang menyokong peraturan tersebut mempertikaikan tindakan kementerian yang tidak mengeluarkan saman kepada perokok dalam tempoh 6 bulan pertama ini. Yang membantah pula mempertikaikan keadilan terhadap hak mereka untuk merokok.

Begitu juga reaksinya ketika kerajaan mencadangkan pengharaman terhadap penggunaan penyedut minuman. Satu pihak mengatakan ia tindakan bijak untuk mengurangkan kadar pencemaran. Satu pihak lagi mengatakan ia peraturan yang menyusahkan pengguna dan tidak mempunyai impak terhadap penurunan kadar pencemaran.

Adakah pengharaman penggunaan penyedut minuman akan mengurangkan pencemaran laut?

Adakah mewartakan restoran sebagai kawasan larangan merokok akan meningkatkan kualiti kesihatan umum?

Apabila impak diukur dengan hasil yang bersifat ubjektif semata-mata, kebanyakan tindakan perundangan seperti ini tidak akan mendatangkan hasil yang signifikan. Pencemaran laut akan tetap berlaku walaupun penyedut minuman diharamkan. Ancaman kesihatan awam terutamanya penyakit tidak berjangkit tetap akan menjadi beban kepada negara walaupun tiada lagi warga Malaysia merokok di restoran.

Jadi adakah memperkenalkan peraturan seperti ini sesuatu yang sia-sia?

Saya percaya kesan polisi-polisi seperti ini tidak akan menunjukkan hasil dalam masa terdekat. Pengharaman penyedut minuman akan melahirkan generasi yang cakna terhadap kesan buruk plastik kepada alam sekitar. Pengharaman merokok di restoran akan melahirkan generasi yang kurang terdedah kepada budaya merokok; generasi yang menyedari mereka boleh meluangkan masa berkualiti bersama rakan tanpa melakukan aktiviti yang membahayakan diri sendiri dan alam sekitar.

Oleh itu, penting bagi kita untuk menyokong polisi-polisi seperti ini yang bersifat mengubah pemikiran atau gaya hidup. Sikap terburu-buru dalam menilai dan mengukur keberkesanan sesuatu perubahan mungkin akan menyebabkan kerugian yang lebih besar di masa hadapan.

Undang-undang bukan sekadar untuk menghukum. Ia boleh menjadi alat yang berkesan untuk membentuk budaya.

F.H. Abad

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly