Return to site

UBAT GENERIK TIDAK BERKUALITI?

UBAT GENERIK TIDAK BERKUALITI?

“Saya hanya ambil ubat original. Ubat generik banyak kesan sampingan dan tak berkesan kerana ia adalah ubat tiruan.”

Saya kerap terdengar atau terbaca pernyataan seperti di atas setiap kali isu ubat generik dibincangkan. Salah faham ini bukan hanya diutarakan oleh masyarakat awam malah kadangkala oleh ahli profesional kesihatan yang lain.

Ubat innovator atau juga kerap digelar ubat ‘original’ oleh awam adalah ubat yang mula-mula diluluskan untuk dijual. Ubat ini kebiasaannya mengandungi bahan aktif yang baru, formulasi yang baru atau cara administrasi yang baru. Kebiasaannya ia diberikan hak ‘patent’ selama sekitar 20 tahun dan hanya boleh dijual oleh syarikat yang mencipta ubat tersebut.

Ubat generik pula dihasilkan setelah tempoh ‘patent’ ubat innovator tamat. Untuk diluluskan, ia perlu setanding dengan produk innovator dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Ubat ini hanya boleh dipasarkan setelah tempoh ‘patent’ ubat asal tamat.

Ubat innovator biasanya berharga lebih tinggi dari ubat generik terutamanya sewaktu ia masih dalam tempoh ‘patent’. Penghasilan ubat baru memakan kos ratusan juta termasuk kos penyelidikan, formulasi dan kajian-kajian pra klinikal dan klinikal. Syarikat farmaseutikal terpaksa mengambil kira kos-kos ini dalam menetapkan harga ubat yang dikeluarkan.

Sesetengah pihak berpendapat ubat generik tidak berkualiti kerana harganya yang murah. Ini merupakan satu tanggapan yang salah kerana keberkesanan ubatan generik adalah dibuktikan setanding dengan ubat innovator kerana ia mengandungi bahan aktif yang sama, kuantiti bahan aktif yang sama, indikasi yang sama, cara pengambilan yang sama dan juga menjalani ujian bioequivalence.

Ujian bioequivalence adalah ujian yang membandingkan dua produk (innovator dan generik) akan mempunyai kepekatan kandungan bahan aktif yang setanding dalam darah dalam tempoh masa yang sama. Dengan itu, perbezaan dalam formulasi ubatan tersebut tidak lagi penting kerana ia dapat membekalkan bahan aktif dengan kepekatan yang hampir sama.

Segala rawatan yang diberikan dinilai dengan kajian saintifik. Oleh itu, kita patut rujuk kepada bukti saintifik samaada terdapat perbezaan di antara rawatan dengan ubat innovator atau ubat generik. Ini kerana segala pengalaman peribadi perawat atau pesakit hanyalah bersifat testimoni dan bukan merupakan satu bukti kukuh.

Tuan-puan boleh rujuk gambar-gambar yang saya sertakan. Kebanyakan kajian tersebut menunjukkan penggunaan ubat generik adalah setanding dengan produk innovator dari segi keberkesanan dan keselamatan.

Oleh itu tiada sebab untuk rakyat Malaysia ragu-ragu dengan kualiti rawatan yang diberikan. Semua ubat-ubatan berdaftar di Malaysia dijamin kualiti, keberkesanan dan keselamatannya kerana ia telah diuji dan menjalani proses penilaian yang ketat.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly