Return to site

Ubat dan Puasa

Dos, masa dan hukum hakam berkaitan

Sabtu ini umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadhan, Selama sebulan kita akan berpuasa selama lebih 12 jam sehari. Perubahan rutin harian terutamanya pemakanan kadangkala boleh menimbulkan kekeliruan kepada pesakit yang mengambil ubat-ubatan secara rutin.

Di sisi agama, terdapat kelonggaran bagi pesakit yang tidak mampu untuk tidak berpuasa. Bagi penghidap penyakit kronik, bincangkan perkara ini dengan doktor yang merawat terlebih dahulu.

Secara amnya, terdapat dua isu yang biasa timbul. Pertama adalah tentang perubahan masa pengambilan dan dos ubat-ubatan. Yang kedua adalah isu pengambilan sesetengah jenis ubat yang mungkin membatalkan atau dibenarkan sewaktu berpuasa.

SEBELUM ATAU SELEPAS MAKAN

Untuk ubat yang perlu diambil sebelum makan, waktu yang disarankan adalah 1 jam sebelum bersahur, sebelum mengambil makanan utama waktu berbuka atau 2 jam setelah berbuka.

Bagi ubat yang perlu diambil selepas makan, ia boleh diambil selepas bersahur dan berbuka.

SEKALI SEHARI

Ubat sekali sehari boleh diambil sewaktu berbuka atau bersahur. Namun begitu pastikan konsisten waktu pengambilannya. Sekiranya diambil semasa bersahur, kekalkan masa pengambilan itu sepanjang Ramadhan.

DUA KALI SEHARI

Ubatan seperti ini boleh diambil sewaktu berbuka dan bersahur. Jangan ambil ringan tentang arahan pengambilan sebelum atau selepas makan. Ikut aturan yang telah dijelaskan tadi.

TIGA KALI SEHARI

Bagi ubat yang perlu diambil 3 kali sehari, waktu yang dicadangkan ialah semasa bersahur, semasa berbuka dan sebelum tidur.

EMPAT KALI SEHARI

Untuk ubatan seperti ini, bincangkan dengan doktor dan ahli farmasi. Anda mungkin dinasihatkan untuk tidak berpuasa demi menjamin kesihatan. Namun begitu bagi sesetengah rawatan, mungkin terdapat ubatan alternatif yang boleh diambil dua atau tiga kali sehari. Jangan ubah sendiri dos anda.

PERUBAHAN DOS BAGI PESAKIT DIABETIS

Sebahagian pesakit diabetis mungkin memerlukan perubahan dos ubat-ubatan atau insulin. Ini kerana rutin pemakanan berubah dengan signifikan. Namun begitu perubahan ini tidak boleh dilakukan secara sendirian.

Tahap kawalan gula pesakit perlu dipantau oleh doktor. Bincangkan perkara ini dengan doktor dan ahli farmasi.

Sekiranya berpuasa, pesakit perlu peka dengan simptom-simptom hipoglisemia (kurang gula dalam darah) atau hiperglisemia (gula tinggi dalam darah). Segeralah berbuka sekiranya mengalami tanda-tanda tersebut dan dapatkan pemeriksaan kerana ia mungkin memudaratkan kesihatan anda.

HIPOGLISEMIA

Tanda-tandaya adalah:-

  • Mengantuk/ Terlalu lemah
  • Amat lapar
  • Menggigil/ Menggeletar
  • Peluh dingin
  • Keliru/ Gangguan emosi/ Resah/ Gelisah
  • Pening / Mudah pitam

HIPERGLISEMIA

Tanda-tandanya adalah:-

  • Sangat dahaga
  • Kerap membuang air kecil
  • Sangat letih

BOLEHKAH GUNA UBAT SEWAKTU BERPUASA?

Terdapat khilaf dalam penggunaan sesetengah jenis ubat seperti inhaler dan suppository sama ada ia membatalkan puasa atau tidak. Perkara ini sering dibincangkan oleh pelbagai pihak sehingga kadankala menimbulkan pertikaian.

Bagi meraikan pendapat dan mazhab rasmi di Malaysia, saya menyarankan agar semua pihak merujuk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh JAKIM. Penulisan dalam artikel ini akan menggunapakai apa yang telah digariskan oleh JAKIM pada tahun 2013.

Sekiranya terdapat keraguan dalam isu ini, rujuklah kepada para Alim Ulama dan peganglah dengan pendapat yang anda yakin.

UBAT YANG MEMBATALKAN PUASA

Jenis ubat-ubatan yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:-

  • Ubat makan dan minum.
  • Alat sedutan (inhaler).
  • Pesari yang dimasukkan ke dalam faraj.
  • Eneme atau suppository yang dimasukkan ke dalam dubur.
  • Bius penuh yang menyebabkan pesakit tidak sedar.

UBAT YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Ubat-ubatan yang tidak membatalkan puasa adalah seperti berikut:-

  • Ubat titis mata dan telinga dengan syarat tidak sampai ke gegendang telinga. 
  • Tablet sublingual (bawah lidah).
  • Suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.
  • Ubat sapu.
  • Ubat kumur.
  • Ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut.
  • Bius setempat atau separuh.
  • Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.

CADANGAN UNTUK PESAKIT YANG MEMERLUKAN PENGGUNAAN INHALER

Kebiasaannya pesakit akan dibekalkan dengan dua jenis inhaler. Jenis pertama adalah untuk mengawal penyakit. Jenis kedua adalah untuk melegakan pernafasan sewaktu serangan berlaku.

Saya ingin menasihatkan pesakit untuk menitikberatkan penggunaan ubat kawalan yang telah diberikan. Ini kerana ubat itu kebiasaannya digunakan dua kali sehari. Oleh itu, ia boleh digunakan pada waktu sahur dan berbuka bagi mengelakkan serangan berlaku.

Kawalan yang baik dapat mengurangkan kebarangkalian ubat pelega digunakan. Walaupun ada pendapat mengatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa, namun keluar dari khilaf itu lebih baik.

PENUTUP

Semoga sedikit panduan ini dapat membantu pesakit menjalani ibadah puasa dengan baik. Utamakan kesihatan dan pilih juadah yang seimbang. Sekiranya terdapat kekeliruan dalam perkara ini, rujuk ahli farmasi sekiranya ia berkaitan dengan ubat-ubatan dan rujuk Alim Ulama’ sekiranya ia berkaitan dengan hukum hakam berkaitan puasa.

Fahmi Hassan

Pegawai Farmasi

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly