Return to site

Temberang Iklan Ubat Sapu

Produk penguat tenaga batin bagi lelaki merupakan antara produk yang sering mendapat permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Orang ramai mudah tertipu dengan iklan dan testimoni dari peniaga sehingga menimbulkan rasa perlu bergantung kepada produk-produk untuk menikmati hubungan seksual yang sihat. Manipulasi dari peniaga ini bukan sahaja dilakukan oleh peniaga atas talian malah oleh pengamal kesihatan yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang tidak beretika.

Kebanyakan produk yang dijual adalah dalam bentuk krim sapuan luaran yang disapu terus di alat kelamin lelaki. Produk sapuan ini diiklankan untuk tujuan menguatkan tenaga batin, mengubati mati pucuk dan lain-lain tuntutan yang hebat dan melampau. Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan samaada apa yang diiklankan itu terbukti berkesan kepada pengguna.

Produk-produk sapuan tersebut kebanyakannya didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai produk kosmetik. Mengikut definisi, produk kosmetik adalah produk yang digunakan di permukaan kulit dan gigi dengan tujuan untuk membersih, mewangi, mengubah keterampilan atau bau badan, melindungi dan mengekalkan anggota tersebut dalam keadaan yang baik. Oleh yang demikian, produk-produk berkaitan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepatutnya cuma boleh dipasarkan mengikut kriteria produk kosmetik seperti yang telah termaktub di bawah undang-undang.

Walaubagaimanapun peniaga dan pengedar produk tersebut kebanyakannya telah menyalahguna kelulusan tersebut untuk memasarkan dan mengiklankan produk-produk mereka diluar kelulusan dan peraturan yang dibenarkan. Iklan-iklan dan testimoni berkaitan merawat tenaga batin dan mati pucuk merupakan sesuatu yang tidak beretika dan menyalahi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Oleh yang demikian, produk-produk seperti ini sewajarnya cuma boleh diiklankan sebagaimana produk-produk pelembut kulit yang lain. Kita jarang mendengar produk-produk kosmetik lain seperti pencuci dan pelembab muka mengiklankan produk mereka dengan tuntutan tuntutan kesihatan yang melampau dan menyalahi peraturan. Ini kerana produk-produk tersebut diiklankan mengikuti etika dan undang-undnag yang telah ditetapkan.

Iklan mengenai ubat-ubatan, produk kesihatan dan perkhidmatan kesihatan dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memerangi masalah iklan-iklan yang mengelirukan dan menipu pengguna. Selain dari produk yang dibincangkan sebelum ini, terdapat banyak lagi produk yang menggunakan tuntutan perubatan yang melampau dan tidak masuk akal serta menggunakan indikasi yang tidak diluluskan untuk melariskan produk dan mendapat perhatian orang ramai. Lebih membimbangkan terdapat juga produk yang langsung tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mengiklankan produk mereka dengan menggunakan nombor pendaftaran yang palsu.

Hal ini menjadi lebih berleluasa pada masa kini akibat dari pengkiklanan produk secara meluas di alam maya. Penjual kini mengiklankan produk-produk mereka di blog-blog dan media sosial secara sewenang-wenang tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi ole pengguna. Perkara seperti ini sememangnya bakal membuatkan pengguna tertipu dan berisiko untuk mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna.

Bagi mengatasi masalah ini, penguna perlulah lebih bijak dalam menilai ketulenan dan kegunaan sesuatu produk. Status produk samaada berdaftar atau tidak boleh disemak melalui laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia secara atas talian. Pengguna perlu mempunai sifat kritis yang tinggi sewaktu membaca iklan-iklan dan testimony-testimoni produk terutamanya yang dijual di atas talian ataupun yang tidak dibeli di farmasi.

Sekiranya orang awam mempunyai apa-apa pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly