Return to site

TAK PERLU HABISKAN ANTIBIOTIK?

Pada 26 Julai 2017, sekumpulan penyelidik telah mengeluarkan sebuah artikel yang disiarkan di www.bmj.com yang menyatakan rawatan antibiotik tidak semestinya perlu dihabiskan.

Ia merupakan satu artikel yang bagus dan menimbulkan kesedaran kepada para pengamal perubatan supaya menilai semua keperluan atau tempoh rawatan sesuatu penyakit menggunakan antibiotik.

Namun begitu, tajuk yang sensasi menjadikan artikel tersebut viral dan dikongsi oleh banyak media sehingga membawa maksud yang mengelirukan.

Apa yang dipertikaikan oleh artikel tersebut adalah keperluan menghabiskan rawatan dengan tujuan mengurangkan risiko kerintangan antibiotik. Ini kerana, selama ini majoriti profesional kesihatan berpandangan tindakan tidak mengambil antibiotik sehingga habis menyebabkan bakteria yang masih hidup menjadi kebal terhadap antibiotik tersebut.

Penulis artikel berkenaan menyatakan yang tindakan meletakkan bilangan hari rawatan yang umum untuk rawatan antibiotik adalah tidak berasas.

Namun begitu, bagi saya, saranan menghentikan antibiotik apabila sihat juga tidak patut dilakukan untuk umum. Ini kerana lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan nasihat menghentikan antibiotik apabila pesakit rasa sihat tidak membawa mudarat kepada pesakit.

Sebenarnya, saranan tersebut ada ditulis dengan jelas di dalam artikel:

“Research is needed to determine the most appropriate simple alternative messages, such as stop when you feel better.”

Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan sewenangnya oleh pesakit pada masa sekarang. Nasihat yang terlalu umum ini mungkin juga membawa kemudaratan yang lebih teruk kepada pesakit.

Terdapat banyak jenis jangkitan dan respon setiap pesakit terhadap rawatan mungkin berbeza. Penyakit TB contohnya memerlukan rawatan yang memakan masa berbulan-bulan. Selain itu ada kajian menunjukkan rawatan antibiotik sehingga 10 hari kepada jangkitn telinga keatas bayi tidak meningkatkan risiko kerintangan malah lebih baik kesannya berbanding rawatan yang singkat.

Secara kesimpulannya, artikel tersebut dapat membuka mata pengkaji terhadap keperluan mengkaji kesesuaian jumlah hari rawatan perlu diberikan. Buat masa ini, pesakit masih perlu mematuhi arahan yang diberi kepada mereka dan tidak menghentikan rawtan sesuka hati. Saya percaya, arahan yang lebih jelas akan wujud pada masa hadapan setelah lebih banyak kajian dijalankan.

*ini adalah pendapat peribadi penulis.

Fahmi Hassan

Pegawai Farmasi

fb.com/fahmiabad

www.fahmihassan.net

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly