Return to site

Program Kenali Ubat Anda

Kesihatan yang baik merupakan satu nikmat kurniaan tuhan yang tidak ternilai kepada manusia. Bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik, mahu tidak mahu kita tidak boleh lari dari bergantung kepada ubat-ubatan. Ubat-ubatan bukan sahaja diperlukan oleh mereka yang berusia atau berpenyakit kronik, malah ia digunakan untuk melegakan penyakit ringan dan akut seperti demam dan selsema. Malah mereka yang tidak berpenyakit juga sering mengambil ubat-ubatan dalam bentuk vitamin dan makanan tambahan bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa di tahap yang optimum.

Penggunaan ubat-ubatan tidak boleh diambil remeh. Penggunaannya yang betul akan dapat memberikan faedah yang baik kepada kita. Akan tetapi, ia juga berupaya untuk mendatangkan mudarat sekiranya ia digunakan dengan cara yang salah dan tidak mengikuti peraturan.

Akibat dari penggunaan ubat-ubatan yang tinggi di kalangan masyarakat, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan satu program yang amat berguna untuk mendidik masyarakat tentang penggunaan ubat-ubatan dengan cara yang betul. Program ini dekenali dengan ‘Program Kenali Ubat Anda’. Ia telah dilancarkan pada 29 Jun 2007 dan dijalankan di farmasi-farmasi hospital, klinik kesihatan dan unit penguatkuasaan farmasi negeri sehingga kini.

Di antara objektif program ini adalah untuk:

  • meningkatkan kesedaran pengguna dalam penggunaan ubat secara rasional
  • menyediakan pengguna dengan maklumat yang berkaitan kesihatan dan ubat melalui pelbagai isu
  • memastikan pengguna mengetahui ubat yang diambil, apa yang sepatut dan tidak patut diambil dan sebabnya
  • meningkatkan pelaporan kesan sampingan ubat melalui pendidikan pesakit
  • meningkatkan ilmu pengetahuan dalam penggunaan ubat oleh ibu mengandung, ibu yang menyusu anak-anak dan kanak-kanak
  • membantu warga emas dalam penggunaan ubat

Program ini dlaksanakan oleh ahli-ahli farmasi dari sector awam dan juga swasta. Pelbagai aktiviti-aktiviti seperti bengkel-bengkel kepada pengguna, pameran dan ceramah, kajian-kajian berkaitan penggunaan dan salah guna ubat-ubatan dan juga promosi yang berterusan melalui media massa dan sosial.

Antara kandungan penting di dalam program ini adalah meningkatkan penggunaan ubat secara berkualiti. Masyarakat diajar tentang konsep ‘5 B’ dalam penggunaan ubat-ubatan. Sebelum mengambil sesuatu ubat, penting untuk pengguna memasikan ubat tersebut untuk pengguna yang Betul, ubat yang Betul, dos yang Betul, cara pengambilan yang Betul, dan masa pengambilan yang Betul. Masyarakat diajar bagaimana untuk mengenalpasti kesahihan maklumat-maklumat tersebut melalui label ubat yang lengkap dan menepati peraturan yang ditetapkan. Kefahaman berkaitan perkara ini dapat mengelakkan kes-kes salah makan ubat atau kesilapan pendispensan yang boleh mendatangkan bahaya serta mudarat yang teruk.

Melalui program ini juga ahli-ahli farmasi berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat tentang penggunaan ubat yang betul. Pelbagai salah faham berkaitan ubat dijelaskan seperti kekeliruan mengenai pelbagai jenis ubat berlainan untuk penyakit yang sama, mencampur beberapa jenis ubat tanpa nasihat dari ahli farmasi atau doktor, pengambilan ubat-ubatan tradisional dan pelbagai isu-isu yang lain.

Masyarakat juga diajar untuk lebih bersifat ingin tahu dan rajin bertanya berkenaan ubat-ubatan mereka. Ini untuk memastikan pesakit lebih mengambil berat tentang ubat mereka dan meningkatkan kefahaman supaya mereka lebih patuh dengan pengambilan ubat mereka. Pesakit juga akan lebih peka tentang kesan sampingan ubat, dan boleh terus mendapatkan rawatan sekiranya mereka menghidapi kesan sampingan dari rawatan mereka.

Cara simpanan ubat yang betul juga penting untuk memastikan ubat yang digunakan tidak rosak dan dapat memberikan kesan rawtan yang efektif. Masyarakat didedahkan tentang cara dan tempat simpanan pelbagai jenis ubat termasuk tablet, kapsul, suntikan dan krim serta losyen. Pengetahuan tentang tahap stabiliti ubat yang telah digunakan serta jangkamasa tarikh luput pelbagai jenis ubat juga diberikan untuk memastikan ubat yang digunakan tidak mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Program ini telah dapat mendatangkan faedah yang sangat besar kepada masyarakat. Selain itu ia juga dapat merapatkan jurang antara orang ramai dan ahli farmasi bagi memudahkan masyarakat mendapat nasihat serta maklumat yang tepat dari mereka yang berkelayakan. Sekiranya orang ramai ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkaitan program ini boleh melayari laman web http://www.knowyourmedicine.gov.my. Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan nasihat berkaitan ubat-ubatan dari mana-mana ahli farmasi atau menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di nombor 1800886722.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly