Akhirnya jelas sudah yang Syed Putra Meir bukanlah seorang profesor. Ini dijelaskan sendiri oleh beliau hasil perbincangan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

 

"Kami telahpun mengadakan perjumpaan dengan Syed Putra Meir dan beliau mengakui bahawa gelaran ‘Prof’ yang digunakan adalah panggilan dari masyarakat, ini sekaligus menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai gelaran Profesor yang sah. Walaupun pengiktirafan Tokoh Perubatan Alternatif 2015 yang diberi bukan berdasarkan kelayakan akademik mahupun gelaran sebaliknya atas kejayaan merawat pesakit menggunakan kaedah alternatif, PPIM mengambil keputusan untuk menggantung pengiktirafan tersebut sementara siasatan terhadap pertuduhan lain dijalankan." (FB PPIM)

 

Namun begitu PPIM mungkin masih keliru dengan 'keberkesanan' rawatan yang dijalankan oleh Syed Putra Meir. Saya tidak pasti samada di barisan tertinggi PPIM ada golongan profesional kesihatan seperti Doktor dan sebagainya yang boleh memberikan pendapat profesional terhadap isu berkaitan bidang kesihatan.

 

Secara peribadi, saya telah menerima beberapa mesej berkaitan pengalaman pesakit yang telah mendapatkan rawatan alternatif kanser ini. Mereka menghabiskan ribuan ringgit hingga ada yang terpaksa menjual rumah. Namun akhirnya mereka kembali menerima rawatan di hospital.

 

Saya juga curiga dengan dakwaan yang Syed Putra Meir berjaya merawat puluhan ribu pesakit kanser. Sekiranya benar, tidak mungkin tiada satu pun laporan kes tersebut dapat diterbitkan di jurnal perubatan. Saya pasti ramai yang berminat menerbitkan laporan keajaiban ini di jurnal-jurnal.

 

Apa yang saya khuatiri, pesakit yang dikatakan sembuh itu sebenarnya didiagnos sendiri oleh perawat dengan cara yang salah. Laporan 'cancer marker' bukanlah menunjukkan pesakit menghidap kanser. Diagnosis kanser perlu dilakukan dengan betul oleh pakar onkologi. Ia tidak mungkin dapat dilakukan oleh seseorang yang tidak dapat membezakan di antara cyst, lymph node dan kanser.

 

Rawatan alternatif yang dipopularkan oleh Syed Meir adalah rawatan berasaskan biji aprikot. Bahan aktif dalam aprikot dikenali sebagai laetrile dan amygdalin. Ia dipopularkan oleh ‘Dr.’ Ernst. T. Krebs Jr. ‘Dr.’ Krebs tidak berjaya menghabiskan pengajian sebagai seorang doktor namun masih dipanggil sebagai ‘Dr. Krebs’ oleh penyokongnya. Beliau beraya memiliki sarjana muda dalam bidang seni (1).

 

Satu kajian menunjukkan rawatan dengan laetrile tidak memberikan sebarang kesan dari segi penyembuhan, pengecilan saiz tumor, penstabilan kanser dan simptom kanser dan peningkatan jangka hayat pesakit. Selain itu, pesakit mengalami keracunan cyanide menghampiri paras berbahaya yang boleh membawa maut (2).

 

Kajian yang menunjukkan keupayaan laetrile untuk membunuh kanser hanyalah pada tahap kajian di makmal menggunakan haiwan (3). Namun begitu, keputusan kajian-kajian makmal tidak semuanya menunjukkan kesan yang positif (4-6) Oleh itu, tidak dapat dibuktikan ia berupaya merawat kanser.

 

Di dalam petikan wawancara bersama Bernama Radio, wakil PPIM mempertikaikan berkaitan rawatan kanser di hospital yang dikatakan menyebabkan banyak kematian. Saya tidak pasti apa yang menjadi sumber rujukan terhadap tuduhan itu. Ini kerana, menurut sumber yang sahih, keadannya bukan begitu.

 

Keberkesanan rawatan kanser di hospital bergantung kepada pelbagai faktor termasuk jenis dan tahap kanser sewaktu dirawat. Statistik keberkesanan rawatan boleh dirujuk melalui gambar dan pautan yang disertakan (7).

Oleh itu saya amat berharap agar masyarakat tidak tertipu dengan rawatan 'alternatif' seperti ini. Ia memakan belanja puluhan ribu ringgit dan menjanjikan bulan dan bintang kepada anda. Namun keberkesanan rawatan langsung tidak dapat dibuktikan.

 

Fahmi Hassan
Pegawai Farmasi
www.fahmihassan.net

 

1)Bruzelius, NJ. The merchants of Laetrile. Boston Sunday Globe, June 17, 1979.
(2)Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, et al.: A clinical trial of amygdalin (Laetrile) in the treatment of human cancer. N Engl J Med 306 (4): 201-6, 1982
(3)Chen Y, Ma J, Wang F, et al.: Amygdalin induces apoptosis in human cervical cancer cell line HeLa cells. Immunopharmacol Immunotoxicol 35 (1): 43-51, 2013.
(4)Laster WR Jr, Schabel FM Jr: Experimental studies of the antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) alone and in combination with beta-glucosidase (NSC-128056). Cancer Chemother Rep 59 (5): 951-65, 1975 Sep-Oct
(5)Wodinsky I, Swiniarski JK: Antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) as a single agent and with beta-glucosidase (NSC-128056) on a spectrum of transplantable rodent tumors. Cancer Chemother Rep 59 (5): 939-50, 1975 Sep-Oct.
(6)Hill GJ 2nd, Shine TE, Hill HZ, et al.: Failure of amygdalin to arrest B16 melanoma and BW5147 AKR leukemia. Cancer Res 36 (6): 2102-7, 1976.
(7)https://www.cancer.org/.../cancer-treatment-and...
Baca lebih lanjut berkaitan cancer marker melalui pautan ini:
http://rootofscience.com/.../penanda-tumortumor-marker.../

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly