Return to site

Produk Pencerah Kulit

Apakah bahan bahan yang lazim terkandung di dalam produk pencerah kulit?

Terdapat lambakan produk pemutih atau pencerah kulit dalam pasaran pada masa kini akibat dari permintaan yang tinggi dari orang ramai terutamanya wanita tanpa mengira peringkat usia.

Formulasi produk pencerah kulit biasanya mengandungi satu atau kombinasi beberapa bahan sepertu vitamin c, asid kojic, asid hydroxyl alpha, nicotinamide, arbutin, ekstrak tumbuhan dan lain-lain.

Secara umum, bahan-bahan tersibut bertindak terhadap proses penghasilan melanin iaitu sejenis bahan dalam badan yang mempengaruhi warna kulit manusia.

Kita perlu faham bahawa sesuatu produk tidak semestinya mempunyai kesan yang sama terhadap setiap individu. Struktur kulit yang berbeza atau permasalahan kulit antara individu boleh mempengaruhi kesan ubat ubatan tersebut. Faktor lain seperti diet, tekanan, aktiviti fizikal serta tahap pendedahan sesorang terhadap cahaya matahari juga akan mempengaruhi kesan sesuatu produk.

Bagaimanakah produk pencerah kulit dikawal di Malaysia?

Produk pemutih/pencerah kulit yang dibenarkan dalam pasaran adalah merujuk kepada krim, losyen atau sediaan lain yang digunakan secara luaran sahaja. Ianya sama sekali tidak termasuk produk yang digunakan secara suntikan atau dimakan.

Produk suntikan perlu melalui prosedur penilaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang terperinci sebelum dibenarkan untuk didaftarkan dengan KKM dan hanya boleh diaplikasikan pada inidividu yang memerlukan oleh doctor perubatan yang bertauliah. Produk pemutih/pencerah yang dimakan juga turut dikawal oleh KKM dan perlu melalui prosedur regulatori tertentu bergantung kepada komposisi atau kandungan bahan yang digunakan.

Berdasarkan rekod pengawasan mutu produk kosmetik di pasaran, produk yang digunakan untuk pencerahan wajah seringkali dicemari oleh bahan yang dikategorikan sebagai racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin, azelaic acid dan merkuri.

Berdasarkan Akta Racun 1952, bahan-bahan ini hanya dibenarkan dalam produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM dan bukan di dalam bahan kosmetik. Ia boleh digunakan hanya di bawah pengawasan professional kesihatan kerana tanpa pengawasan yang sewajarnya, ia boleh mendatangkan kesan mudarat yang serius kepada pengguna.Selain daripada itu, merkuri iaitu sejenis logam berat yang merbahaya juga turut dikesan di dalam sesetengah produk pencerah wajah.

Bagaimana salahguna produk pencerah kulit berlaku?

Salahguna kepada produk pencerah kulit ni boleh berlaku dengan beberapa cara. Pertamanya, produk kosmetik yang digunakan itu terkandung bahan-bahan berbahaya yang terlarang seperti hydroquinone, merkuri dan sebagainya. Produk-produk seperti ini biasanya adalah produk-produk yang tidak berdaftar dengan kementerian kesihatan Malaysia. Kandungan ubat-ubatan ini boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada pengguna.

Salah satu produk tidak berdaftar yang sering digunakan sebagai pencerah kulit adalah injection vitamin C. Injection vitamin c tidak pernah mendapat kelulusan oleh kementerian kesihatan Malaysia untuk dipasarkan di Malaysia. Untuk pengetahuan,bukan saja menjual, malah memiliki produk tidak berdaftar bagi tujuan perubatan merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.

Selain itu terdapat ubat-ubatan yang berdaftar, tetapi turut disalahguna sebagai agen pencerah kulit. Setiap ubat yang didaftarkan dengan KKM adalah dengan indikasi tertentu bersama bukti kajian klinikal. Sebagai contoh, ubat tranexamic acid. Ia didaftarkan dengan indikasi untuk menghentikan penderahan pada kes kes tertentu seperti gangguan haid atau pendarahan hidung yang berterusan. Walaubagaimanapun ubat ini sering dijual terutamanya di laman social dan blog-blog sebagai agen pemutih kulit.

Ubat ini tidak boleh digunakan sewenangnya oleh semua orang. Terdapat pesakit yang memang tidak boleh mengambil ubat ini sepertu golongan wanita yang mempunyai masalah kitaran haid, individu yang mengalami masalah saluran darah dan sebagainya. Lazimnya penjual ubat ini tidak akan mengendahkan maklumat pesakit ketika menjual produk mereka.

Apakah kesan-kesan sampingan yang bakal berlaku akibat salahguna produk pencerah kulit?

Kesan sampingan yang bakal dihadapi bergantung kepada jenis produk yang diambil. Sesetengah bahan seperti hydroquinone boleh menyebabkan kulit menjadi terlalu nipis dan apabila terdedah kepada sinaran matahari akan mengakibatkan kulit menggelupas, merah dan pedih serta terbakar.

Terdapat juga produk yang boleh mendatangkan kesan yang lebih teruk sekiranya digunakan secara berlebihan dan dalam jangkamasa yang lama antaranya gangguan pernafasan, saraf dan juga kanser.

Ubat tranexamic asid biasanya akan menyebabkan pening kepala, sakit sendi, kekjangan otot, saluran hidung tersumbat dan kelesuan badan. Kesan sampingan yang serious dan memerlukan rawatan segera pula adalah kesan alergi, bengkak di seluruh badan, dada terasa berat dan sukar bernafas, batuk berdarah, masalah penglihatan, sawan dan lain lain.

Pengambilan vitamin c berlebihan pula boleh menyebabkan cirit birit, loya, muntah, kembung perut, insomnia dan batu karang. Kesan-kesan sampingan ini adalah serius dan memudaratkan individu. Janganlah kita mencagarkan kesihatan demi untuk mencuba ubat-ubatan yang belum tentu dapat memberikan kesan seperti yang diingini.

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan dari salahguna produk pencerah kulit?

Kita perlu lebih peka terhadap kesan yang bakal dihadapi akibat penggunaan sesuatu produk kosmetik. Keselamatan dan kesihatan perlu lebih diutamakan berbanding kecantikan.

  • Pastikan produk yang ingin dibeli mempunyai nombor notifikasi dengan KKM dan kesahihan nombor tersebut boleh dirujuk pada laman sesawang BPFK.
  • Baca maklumat yang tertera pada label produk dengan teliti dan mematuhi saranan yang ditetapkan.
  • Tidak mudah terpedaya dengan iklan produk yang menjanjikan perubahan drastik kerana produk kosmetik memerlukan masa untuk bertindak secara selamat ke atas punca kegelapan kulit.
  • Selalu rujuk kepada professional kesihatan/kecantikan yang bertauliah bagi mengenalpasti masalah sebenar yang dihadapi dan jenis produk yang bersesuaian dan tidak mudah percaya maklumat dari media sosial.
  • Berhenti serta merta menggunakan sebarang produk jika mendapati berlaku tindakbalas sampingan yang tidak diigini dan rujuk doctor sekiranya perlu.

Bagaimana cara untuk orang awam mendapatkan maklumat lanjut mengenai penggunaan ubat-ubatan yang betul?

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh rujuk kepada laman sesawang rasmi BPFK www.bpfk.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan NPCC di talian 1-800-88-6722.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly