“Saya nak ambil ubat mak saya”

“Puan ada bawak preskipsi?”

“Ada, ni dia.”

Ni preskipsi ke belacan 😂😂 (dalam hati)

💊💉💊💉💊💉💊💉💊💉💊💉💊💉💊💉

Preskipsi adalah satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh doktor bagi tujuan pembekalan ubat kepada pesakit. Semua ubat-ubatan yang perlu diambil oleh pesakit di hospital akan ditulis di atas preskipsi tersebut. Selain dari penting dari sisi undang-undang, preskipsi juga amat penting bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan betul dan tepat.

Maklumat yang terdapat di atas preskipsi adalah:

  1. Nama pesakit
  2. No. rujukan pesakit
  3. Tarikh preskripsi
  4. Nama ubat
  5. Dos
  6. Tempoh bekalan
  7. Tandatangan dan cop rasmi doktor

Maklumat-maklumat tersebut adalah amat penting bagi memastikan ubat-ubatan dapat dibekalkan dengan menepati konsep 5 BETUL (5B). Pembekalan ubat-ubatan memerlukan kepada:-

  1. BETUL PENGGUNA
  2. BETUL UBAT
  3. BETUL DOS
  4. BETUL CARA PENGAMBILAN
  5. BETUL MASA

Seorang pegawai farmasi memerlukan semakan kepada preskripsi yang lengkap untuk memastikan kelima-lima aspek penting ini dapat dipenuhi. Sebagai contoh, sewaktu mengambil ubat di farmasi, pegawai farmasi pasti akan bertanya nama pesakit walaupun nama tersebut telah tertulis di atas preskripsi. Ini kerana kegagalan pegawai farmasi menyemak nama pesakit yang mengambil ubat dengan nama yang tertulis di atas preskripsi boleh menyebabkan ubat dibekalkan kepada pesakit yang salah. 

Untuk mengekalkan informasi yang terdapat di atas preskripsi, ia perlulah disimpan dengan baik. Ini kerana preskripsi adalah satu-satunya dokumen yang dirujuk sewaktu ubat dibekalkan terutamanya sewaktu anda mengambil ubat ulangan. Tulisan yang sukar dibaca di atas preskripsi mungkin menyebabkan pegawai farmasi tersilap membaca nama ubat ataupun dos sewaktu anda mengambil ubat ulangan. 

Selain itu, dalam kes-kes kecemasan, sekiranya pesakit datang dengan membawa preskripsi sedia ada, ia akan memudahkan rawatan lanjutan diberikan oleh petugas kesihatan. Doktor yang bertugas boleh memberikan rawatan dengan berpandukan rawatan yang telah diterima sebelum ini. Ini juga memudahkan proses mengenalpasti sejarah pengubatan pesakit dengan tepat. 

Walaubagaimanapun, kami faham kemalangan tidak berbau dan mungkin terjadi kepada sesiapa sahaja. Kerosakan atau kehilangan preskripsi boleh berlaku walaupun cuba untuk dielakkan. Oleh itu, ada beberapa tip untuk memudahkan anda mendapat rawatan yang betul sekiranya preskripsi anda rosak atau hilang. Tip-tip ini berguna untuk memudahkan doktor mengeluarkan preskripsi yang baru kepada anda sekiranya perlu.

Antara perkara yang anda perlu lakukan adalah:-

  1. Ingat nama ubat beserta dos ubat-ubatan anda.
  2. Bawa bersama ubat-ubatan anda sekiranya masih ada.
  3. Bawa buku rawatan anda (sekiranya ada).
  4. Ambil gambar preskripsi anda dan simpan di dalam album telefon pintar setiap kali memperolehi preskripsi baru. 

Sebagai penutup, preskripsi ubat-ubatan perlulah dijaga dengan baik kerana ia mengandungi informasi-informasi penting berkenaan rawatan seseorang. Kesilapan yang berlaku akibat dari preskripsi yang sukar dibaca akibat koyak atau rosak mungkin boleh mendatangkan kesilapan dalam pendispensan ubat-ubatan yang boleh membahayakan pesakit. 

*Gambar preskripsi tersebut dihantar oleh seorang pegawai farmasi di sebuah hospital. Maklumat di preskripsi tersebut tidak dapat dibaca dengan jelas sehinggakan kami tidak perlu edit gambar tersebut untuk melindungi maklumat peribadi pesakit. 

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly