Return to site

Ku Temui Erti Syukur di Ormoc

Baldi-baldi berisi ‘hygiene kit’ memenuhi lori tentera. Kit tersebut mengandungi bahan-bahan asas penjagaan diri. Ada pemotong kuku, tuala wanita, sabun, pencukur, ubat dan berus gigi, shampoo dan juga selipar.

Jumlah mangsa yang datang untuk mendapatkan kit tersebut amat ramai. Kami agak gusar kerana kami hanya berlapan. Tiada pula yang mampu berbahasa Tagalog atau Visaya. Mampukah kami mengagihkan bantuan dengan teratur tanpa huru hara dan rebut merebut oleh mangsa.

Turunnya kami dari lori disambut oleh beberapa pemuda Filipina. Tanpa membuang masa, mereka memberikan arahan kepada orang ramai agar bertenang dan duduk dalam barisan. Tiada langsung berlaku hiruk pikuk seperti yang kami sangkakan.

Beberapa orang lagi membantu kami menurunkan kit-kit yang kami sediakan. Arahan secara isyarat kepada mereka sudah cukup untuk menyampaikan maklumat yang ingin kami sampaikan. Semuanya membantu kami dengan tersenyum.

Keadaan tanah sedikit basah dan becak. Sewaktu mengagihkan kit tersebut, kasut salah seorang sukarelawan kami terkoyak akibat tersangkut di dalam lumpur. Apa yang berlaku seterusnya amat menyentuh hati saya.

Seorang wanita tua yang baru sahaja memperolehi kit yang diagihkan mengosongkan baldi yang diterima. Dikeluarkan selipar yang masih di dalam bungkusan dan diserahkan kepada sukarelawan tersebut. Selipar yang baru diterima dihadiahkan semula kepada yang lebih memerlukan tanpa ragu-ragu.

Mangsa-mangsa tersebut telah kehilangan rumah, harta, pakaian malah ahli keluarga akibat dari tragedi taufan Haiyan seminggu sebelum itu. Tiada apa lagi milik mereka yang tinggal. Namun sifat manusiawi mereka yang tinggi menjadikan mereka tabah dan mudah menghulurkan bantuan semampu mereka.

Ini adalah salah satu pengalaman menginsafkan yang tak dapat saya lupakan sewaktu menyertai satu misi kemanusiaan ke Ormoc, Filipina pada tahun 2013. Pengalaman yang diperolehi sering membuat saya terfikir apa akan berlaku sekiranya perkara yang sama berlaku di Malaysia tercinta (Nauzubillah).

Sistem kesihatan di Filipina jauh berbeza dengan sistem kita di Malaysia. Pesakit perlu membayar untuk setiap rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan. Oleh sebab itu kedatangan kami membawa rawatan percuma mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penduduk setempat.

Kami telah mendirikan sebuah hospital sementara di perkarangan Ormoc District Hospital. Hospital tersebut mengalami kerosakan yang amat teruk sewaktu taufan berlaku. Perkhidmatan di hospital terjejas teruk.

Hospital sementara kami hanya didirikan dengan dua buah khemah besar. Sekitar 10 orang sukarelawan bertugas setiap hari. Dan jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan terlalu ramai. Akhirnya kami terpaksa memutuskan untuk menerima hanya 300 pesakit setiap hari.

Ormoc merupakan daerah yang besar. Taraf ekonomi penduduk pula agak rendah. Kebanyakannya bekerja sebagai nelayan. Dan rata-rata tidak mampu untuk membayar kos rawatan mereka.

Perkhidmatan rawatan percuma yang diberikan merupakan satu rahmat yang besar bagi mereka. Kerap-kali pesakit menangis sewaktu mengucapkan terima kasih. Ramai juga yang datang membawa buah tangan kepada sukarelawan.

Oleh kerana limitasi jumlah pesakit setiap hari, puluhan pesakit terpaksa pulang tanpa mendapatkan rawatan. Masalah ketiadaan pengangkutan merupakan masalah yang amat besar di sana. Ramai yang terpaksa berbasikal puluhan batu dan terpaksa pulang semula. Tak kurang juga yang bermalam di jalanan untuk menunggu hospital beroperasi semula pada hari esok.

Sumpah saya tidak pernah mendengar seorang pun dari pesakit mengeluh atau marah kepada kami. Mereka faham tentang beratnya tugas yang kami perlu lakukan. Dan mereka tahu kami datang dari jauh semata-mata untuk membantu mereka. Lebih-lebih lagi mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan sebelum ini.

Pengalaman di sana membuka mata saya tentang nikmat kesihatan dan kehidupan saya sendiri. Hidup di Malaysia kadang-kadang menjadikan saya sombong dan meninggi diri. Saya sendiri sering mengeluh sekiranya lambat dirawat (dalam hati). Di sana, saya terjumpa kes pesakit meninggal dunia di lobi hospital kerana bilik surgeri penuh. Sangat-sangat menginsafkan.

Sistem kesihatan di Malaysia telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Harga rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan di hospital kerajaan amatlah berharga dan seringkali dipandang remeh oleh masyarakat. Rawatan yang diberikan dibazirkan. Ada yang mengambil ubat-ubatan hanya untuk disimpan di rumah.

Betul, masih ada ruang untuk sistem kesihatan kita ditingkatkan. Namun cemuhan-cemuhan yang selalu diberikan hanyalah bersifat menghukum dan menghina. Barangkali ini adalah penyakit kita yang tidak pernah merasa susah. Orang yang tidur di bawah kipas akan sentiasa berangan-angan untuk tidur di bawah penghawa dingin. Namun tiada siapa memikirkan nasib orang yang tidur di kaki lima.

Orang yang bersyukur pasti akan sentiasa melihat kebaikan dalam sesuatu perkara. Mungkin benar kata guru saya, kebolehan bersyukur itu sendiri merupakan satu nikmat. Kadangkala gusar hati saya membayangkan nasib kita jika mendapat ujian sehebat mereka. Mampukah kita bersatu hati membina semula kehidupan bersama di negara tercinta ini? Sama-sama kita berdoa agar Malaysia sentiasa aman dari bala bencana dan dilindungi dari penyakit.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly