Return to site

Ketagihan Ubat Kebas

Metro Ahad (15 Mac 2015)

Beberapa minggu yang lepas sebuah rancangan tv swasta telah membongkar kegiatan segilintir remaja yang menyalahguna sejenis ubat kebas berbentuk semburan yang kebiasaannya digunakan oleh ahli sukan untuk merawat kekejangan. Ubat itu dikatan disalahguna untuk mendatangkan kesan khayal terutamanya bagi kalangan remaja dan pelajar sekolah. Salahguna ubat ini merupakan sesuatu isu yang serius kerana ia bukan sahaja boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan malah menyumbang kepada keruntuhan moral dan sosial di dalam masyarakat.

Salahguna ubat tersebut bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah dilaporkan oleh Harian Metro dalam satu lapurannya pada tahun 2007. Walaubagaimanapun kesedaran masyarakat terhadap perkara ini perlu ditingkatkan bagi membolehkan masyarakat menjauhi perbuatan ini.

Kandungan kepada ubat kejang yang biasa disalahguna adalah ethyl chloride. Penyalahgunaan ethyl chloride dikategorikan sebagai penyalahgunaan ubat yang dikategorikan sebagai inhalant. Inhalant adalah bahan bahan mudah meruap yang menghasilkan bahan kimia dalam bentuk gas yang boleh mendatangkan kesan psikoaktif seperti halusinasi, perubahan mood dan juga mengganggu fungsi pemikiran normal.

Salahguna Produk Inhalant

Salahguna inhalant boleh berlaku bukan sahaja dari ethyl chloride spray malah banyak lagi bahan bahan yang mudah dijumpai dan digunakan di dalam kehidupan seharian. Mengikut laporan dan kajian yang dijalankan di Malaysia dan luar negara, produk-produk seperti sabun pembersih, peluntur, petrol, gam, pemadam kebakaran, dan najis lembu telah disalaguna untuk mendatangkan kesan psikoaktif dan menyebabkan ketagihan.

Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan 21.7 juta rakyat di sana yang berumur 12 tahun dan ke atas pernah menyalahgunakan produk inhalant sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Di Malaysia, kajian oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun 2008 menunjukkan hanya 0.8 % daripada remaja di Malaysia pernah menyalahgunakan produk inhalant. Walaubagaimanapun kita tidak boleh menolak kemungkinan lebih ramai remaja Malaysia pernah terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini kerana kesedaran tentang salahguna inhalant masih rendah di kalangan masyarakat.

Kesan dan Ketagihan

Kebiasannya kesan produk inhalant ini terhadap kesihatan berbeza mengikut jenis produk yang disalahguna. Akan tetapi kebiasannya penagih produk inhalant ini bukan hanya menyalahguna satu produk akan tetapi menyalahguna apa jua jenis produk yang mudah untuk diperolehi dan murah. Ini kerana penyalahguna inhalant terdiri dari pelajar sekolah, gelandangan dan golongan penganggur yang tidak mempunyai sumber pendapatan. Golongan yang pernah menghadapi sejarah penderaan di rumah, pelajar yang tidak cemerlang dan mereka yang keciciran sekolah juga didapati lebih cenderung untuk menyalahguna produk inhalant.

Inhalant yang disedut melalui hidung akan diserap ke dalam darah melalui paru-paru. Bahan kimia tersebut akan dibawa dengan pantas oleh darah ke otak dan organ-organ tubuh yang lain. Dalam masa beberapa saat, kesan intoksikasi akan terjadi sepertimana kesan intoksikasi terhadap alkohol. Pengguna tersebut akan mengalami kesukaran untuk bertutur, khayal, mabuk, halusinasi dan delusi.

Kesan intoksikasi ini cuma akan bertahan selama beberapa minit. Oleh sebab itu, penagih inhalant akan mengulangi perbuatan mereka secara kerap dan berulangkali dalam tempoh beberapa jam. Perbuatan ini akan mendatangkan mudarat yang besar yang menyebabkan penagih tidak sedarkan diri, sawan, dan mendatangkan maut. Penyalahgunaan inhalant yang berterusan akan menyebabkan penagih sentiasa mengantuk, bersikap agresif, kekeliruan, tidak dapat mengawal anggota badan dengan baik dan berbagai lagi kesan buruk.

Sudden Sniffing Death Syndrome (SSDM)

SSDM ialah sindrom kematian yang mengejut akibat dari penyalahgunaan inhalant. Ia disebabkan oleh gangguan kepada degupan jantung yang normal. Ia boleh berlaku kepada mereka yang menyalahguna apa-apa sahaja produk inhalant buat kali pertama. Kebiasannya penagih akan mengalami sesak nafas akibat dari alat yang digunakan untuk menghidu inhalant. Ia juga boleh disebabkan oleh kecederaan, lemas dan kemalangan akibat dari penyalahgunaan inhalant.

Mengelakkan Penyalahgunaan

Masyarakat terutamanya ibu bapa, penjaga dan guru perlu bijak mengesan dan menghentikan penyalahgunaan ini sebelum ia mendatangkan kesan yang buruk kepada kesihatan. Gejala-gejala ketagihan yang boleh dikenalpasti adalah:

  • Bau bahan kimia pada baju dan pernafasan
  • Kesan warna/cat pada tangan, baju dan wajah
  • Botol-botol aerosol yang kosong serta pakaian atau kain yang berbau bahan kimia
  • Kelihatan mabuk, khayal, dan tidak terurus
  • Kemurungan, kurang aktif, mudah marah dan tidak dapat menumpukan perhatian

Pemantauan dan kerjasama dari masyarakat adalah penting bagi mengelakkan gejala ini berleluasa dan mendatangkan kesan yang buruk terhadap kesihatan dan pembangunan sosial remaja di Malaysia. Sekiranya anda mengesyaki penyalahgunaan sesuatu ubat oleh ahli keluarga dan sahabat handai, anda boleh mendapatkan maklumat berkaitan ubat tersebut daripada mana-mana ahli farmasi berhampiran anda.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly