Saya pasti setiap dari kita pernah dengar tentang insulin. Setiap kali perkataan insulin disebut, sudah pasti kita terbayang tentang penyakit diabetes ataupun kencing manis.

Sewaktu saya memberi ceramah berkaitan pengambilan ubat-ubatan sewaktu bulan puasa di sebuah masjid, saya telah ditanya oleh seorang pesakit tentang insulin yang diberikan kepada bapanya untuk rawatan diabetes. Beliau berasa was-was dengan status insulin tersebut kerana diberitahu oleh rakannya insulin dihasilkan dengan proses yang melibatkan khinzir.

Soalan yang sama juga kerap saya jumpa sewaktu mendispens ubat di kaunter farmasi. Rupa-rupanya memang ramai pesakit yang beranggapan insulin yang digunakan dihasilkan dari khinzir.

Penyakit diabetes telah direkodkan dalam sejarah perubatan dunia sejak 3500 tahun yang dulu. Penyakit ini pada asalnya merupakan satu penyakit yang boleh dianggap sebagai ‘hukuman mati’ kepada penghidapnya. Ini kerana punca penyakit tersebut tidak diketahui sehingga tahun 1920 an.

Para pengkaji akhirnya mengesyaki punca diabetes adalah masalah pada fungsi pankreas. Pada masa ini, satu-satunya cara untuk merawat diabetes adalah memberikan diet kurang karbohidrat dan gula serta tinggi lemak dan protein kepada pesakit diabetes. Namun begitu rawatan ini hanya berupaya untuk melanjutkan jangka hayat pesakit sepenjang satu tahun sahaja berbanding mereka yang tidak dirawat.

Pada tahun 1921, beberapa pengkaji dari Universiti Toronto telah berjaya membuktikan peranan insulin dalam penyakit diabetes. Mereka telah menjadikan seekor anjing menghidap diabetes dengan membuang pankreas anjing tersebut.

Kemudian, dengan bantuan dari pakar-pakar sains yang lain, mereka berupaya mengekstrak insulin dari pankreas anjing sihat dan merawat penyakit diabetes anjing yang telah dibuang pankreas tadi.

Akhirnya pada tahun 1922, pesakit diabetes pertama telah menjalani rawatan dengan insulin. Kejayaan rawatan tersebut telah menyebabkan insulin dikenali sebagai rawatan diabetes ke serata dunia.

Universiti Toronto telah memberikan keizinan untuk syarikat-syarikat farmaseutikal menghasilkan insulin dengan hasil kajian mereka tanpa bayaran. Ini merupakan satu sikap terpuji oleh universiti tersebut kerana mementingkan kesihatan sejagat lebih dari wang ringgit. Pada tahun 1923, insulin telah dihasilkan secara besar-besaran dan menyelamatkan nyawa manusia.

Semenjak dari itu, insulin yang diekstrak dari haiwan merupakan satu-satunya sumber insulin yang digunakan. Kebiasaannya ia diekstrak dari lembu dan khinzir. Kajian-kajian mengenai insulin terus dilakukan oleh ramai ahli sains di serata dunia. Walaupun insulin dari haiwan ini dapat menyelamatkan banyak nyawa, namun terdapat kesan sampingan yang dihadapi pesakit seperti alahan yang menyebabkan ruam pada kulit.

Hasil dari perkembangan sains dan teknologi, akhirnya insulin berjaya dihasilkan di dalam makmal menggunakan teknik bioteknilogi terkini pada tahun 1978. Sekumpulan pengkaji berjaya menghasilkan insulin dalam jumlah yang banyak menggunakan bakteria dengan teknik manipulasi DNA.

Kandungan gene insulin manusia dimasukkan ke dalam DNA bakteria dengan teknik yang tertentu. Ini membolehkan bakteria tersebut berfungsi seperti kilang yang dapat menghasilkan insulin yang sama dengan insulin manusia. Insulin ini tidak lagi mendatangkan kesan sampingan sepertimana yang disebabkan oleh insulin dari haiwan tadi.

Semenjak dari itu, hampir semua pensakit diabetes di seluruh dunia kini menggunakan insulin yang dihasilkan dari bakteria atau kulat. Insulin yang dijual di Malaysia semuanya dihasilkan tanpa melibatkan penggunaan haiwan samaada lembu atau khinzir.

Oleh sebab itu, kita tidak perlu risau tentang status keharusan penggunaan insulin dalam rawatan diabetes. Ilmu dan teknologi penghasilan insulin merupakan antara anugerah tuhan terbesar dalam dunia perubatan. Ilmu yang dipinjamkan oleh Allah ini telah dapat digunakan untuk merawat dan menyelamatkan nyawa jutaan manusia di seluruh dunia.

Rujukan:

  1. A Brief History of the Development of Diabetes Medications. John R White. Diabetes Spectrum (2014)
  2. Practical Guide to Insulin Therapy in Type 2 Diabetes Mellitus (MEMS) 2011
  3. Diabetes Care in Malaysia: Problems, New Models, and Solutions. Hussein et. al. Annals of Global Health (2015)
  4. https://www.dnalc.org/view/15928-how-insulin-is-made-using-bacteria.html
  5. American Diabetes Association – History of diabetes
All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly