Return to site

Hospital Lapangan

Field Hospital

Hospital lapangan atau hospital medan adalah sebuah hospital sementara yang biasanya didirikan di kawasan yang mengalami bencana atau yang memerlukan fasiliti kesihatan untuk menampung jumlah pesakit yang ramai.

Hospital ini biasanya dibangunkan dengan khemah-khemah yang disusun agar dapat berfungsi seperti sebuah hospital yang lengkap. Jumlah khemah yang diperlukan bergantung pada jenis hospital yang akan dibangunkan.

Hospital lapangan mungkin hanya berfungsi sebagai sebuah klinik yang hanya merawat pesakit luar. Ia juga boleh dinaiktaraf kepada sebuah hospital dengan fasiliti wad untuk memuatkan pesakit dalam. Ada juga yang dilengkapi dengan unit khas seperti dewan pembedahan dan unit rawatan rapi.

Semakin kompleks dan lengkap perkhidmatan yang disediakan, semakin banyak tenaga kerja dan alatan yang diperlukan. Sebagai contoh, sekiranya hospital lapangan dilengkapi dengan sebuah dewan bedah, ia memerlukan sistem pengudaran, pensterilan alatan dan pembersihan yang baik bagi memastikan jangkitan yang tidak diingini tidak berlaku.

Kebiasaannya hospital ini didirikan di kawasan lapang seperti padang atau ladang. Ia perlu mempunyai akses keluar masuk yang selamat untuk petugas dan orang awam.

Di kawasan seperti ini, bekalan air bersih dan elektrik mungkin sukar diperolehi. Oleh itu, sebuah hospital lapangan yang baik memerlukan generator untuk membekalkan bekalan eletrik dan membolehkannya merawat sumber air yang diperlukan.

Jumlah petugas yang diperlukan pula bergantung pada servis yang diberikan. Sebuah hospital lapangan yang lengkap dengan fasiliti pesakit luar dan dalam serta dewan bedah mungkin memerlukan sekitar 50 petugas perubatan dan teknikal untuk merawat 100 ke 150 pesakit sehari.

Walaupun nampak sukar dan menggunakan banyak kos, hospital lapangan adalah amat kos efektif untuk dibangunkan di kawasan bencana. Ini kerana ia boleh dibangunkan dengan pantas dalam masa 1-2 hari dan amat murah berbanding mendirikan sebuah hospital yang baru.

Mendirikan sebuah bangunan hospital baru mungkin memerlukan kos sehingga RM 500 juta dan memerlukan ratusan petugas pelbagai bidang untuk memastikannya berjalan dengan sempurna. Bandingkan dengan kos mendirikan sebuah hospital lapangan dengan keperluan asas yang hanya memerlukan sekitar 50 petugas untuk beroperasi.

Oleh sebab itu kebanyakan NGO, ataupun pasukan perubatan kemanusiaan memilih untuk mendirikan hospital lapangan bagi membantu mangsa di sesebuah kawasan bencana. Bantuan yang diberikan adalah merupakan rawatan asas dan memenuhi tanggungjawab kemanusiaan sesama manusia.

Contoh keadaan wad di hospital lapangan
Contoh hospital lapangan

Sekiranya Malaysia menghantar bantuan perubatan dalam bentuk hospital lapangan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh, ia boleh menjadi satu latihan yang baik kepada para petugas kita untuk mempersiapkan diri dan menimba pengalaman sekiranya Malaysia ditimpa apa apa bencana.

Bagi saya bantuan kemanusiaan yang dihantar ke mana-mana tempat oleh mana-mana pihak tidak bermaksud kita mengabaikan kesejahteraan dan penjagaan kesihatan rakyat sendiri. Sebaliknya ia merupakan satu tuntutan untuk membantu mereka yang tertindas dan memerlukan.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly