Return to site

Hati-Hati Buang Ubat Sesuka Hati

Perkembangan perubatan moden telah mendatangkan banyak kebaikan dan manfaat dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit. Kemunculan ubat-ubatan hasil dari kajian-kajian saintifik membolehkan penyakit-penyakit yang sebelum ini sukar dirawat dapat dikawal dan disembuhkan. Penggunaan ubat-ubatan ini amat memberikan impak yang besar kepada taraf kesihatan masyarakat. Walaubagaimanapun, tanpa disedari umum, penggunaan dan pelupusan ubat-ubatan secara tidak terkawal telah mendatangkan kesan yang buruk kepada alam semulajadi.

Pencemaran sisa farmaseutikal boleh berlaku melalui perkara yang tidak disangka. Sekitar tahun 90-an, diclofenac sodium, sejenis ubat anti radang dan tahan sakit telah digunakan secara berleluasa di dalam industri penternakan. Ia digunakan di India, Pakistan, Nepal dan Bangladesh untuk merawat ternakan lembu yang sakit. Bangkai lembu-lembu yang mati setelah dirawat oleh tersebut kemudiannya dimakan oleh burung hering yang merupakan sejenis burung yang memakan bangkai. Dalam jangka masa beberapa tahun didapati bilangan burung hering di Asia diancam kepupusan sehingga 99.9%. Apabila disiasat, rupa-rupanya burung-burung tersebut mati akibat dari kegagalan buah pinggang setelah memakan bangkai lembu yang mengandungi sisa-sisa diclofenac sodium.

Dengan kepupusan burung hering, bangkai-bangkai lembu yang mati terbiar tanpa dimakan oleh burung-burung pemakan bangkai. Ini kemudiannya menyebabkan peningkatan bilangan anjing liar di kawasan tersebut. Akibat dari itu berlaku pertambahan jangkitan penyakit anjing gila di kawasan tersebut yang mengancam kesihatan manusia. Kita dapat lihat bahawa pencemaran sisa farmaseutikal bukan sahaja boleh membahayakan satu spesies haiwan sahaja akan tetapi boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem yang boleh mengancam kesihatan sejagat.

Walaupun perkara tersebut berlaku akibat dari penggunaan ubat-ubatan secara berleluasa oleh sektor penternakan, ini tidak bermaksud pencemaran sisa farmaseutikal oleh orang awam tidak mendatangkan bahaya kepada alam sekitar. Pembuangan ubat-ubatan melalui cara yang tidak betul oleh orang awam juga boleh mengundang kesan yang buruk terhadap alam sekitar dan juga kesihatan.

Secara amnya risiko pencemaran sisa farmaseutikal ini boleh dikategorikan kepada dua. Yang pertama adalah risiko terhadap alam sekitar dan juga risiko terhadap kesihatan manusia. Salah satu kesan terhadap alam sekitar yang telah terbukti adalah pencemaran estrogen di dalam sungai yang menyebabkan pertukaran jantina ikan jantan kepada ikan betina.

Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendapati ikan-ikan yang hidup di dalam sungai-sungai yang tercemar telah mengalami perubahan fisiologi yang ketara. Organ reproduktif ikan-ikan jantan didapati telah berubah dan ikan-ikan tersebut mempunyai sistem reproduktif kedua-dua jantina.

Perubahan ini berpunca dari peningkatan kandungan estrogen di dalam sungai yang tercemar dengan produk-produk farmaseutikal. Estrogen tersebut terhasil samada melalui pembuangan sisa ubatan yang mengandungi estrogen, atau sisa ubatan yang boleh menghasilkan estrogen seperti produk steroid natural dan sintetik. Penemuan ini menimbulkan tanda tanya tentang sebanyak manakah kandungan sisa farmaseutikal di dalam air sehingga menyebabkan perubahan tersebut dan juga apakah ada ubatan lain yang boleh mendatangkan kesan yang sama atau lebih buruk terhadap alam sekitar.

Selain dari kesan terhadap alam sekitar, manusia juga berisiko untuk mendapat kesan buruk hasil dari pencemaran sisa farmaseutikal. Telah banyak kajian dijalankan yang mendapati terdapat sisa farmaseutikal di dalam kandungan air paip di serata dunia. Walaupun kandungan tersebut adalah sedikit dan tidak berbahaya kepada orang dewasa, ia berupaya mendatangkan kesan kepada bayi yang menggunakan susu formula yang dibancuh dengan air paip.

Kajian juga mendapati, sisa sisa farmaseutikal seperti erythromycin, sulfamethazine, sulfathiazole, chlortetracycline, oxytetracycline dan diclofenac juga berupaya mendatangkan kesan mutasi gen terhadap sel. Sisa-sisa farmaseutikal tersebut berupaya merosakkan struktur DNA yang akhirnya menyebabkan perubahan kromosom.

Berdasarkan dari perkara-perkara tersebut, adalah kurang bijak sekiranya masyarakat memandang enteng isu pembuangan dan pencemaran sisa farmaseutikal. Kehadiran sisa farmaseutikal di dalam sumber air merupakan satu isu yang perlu dipandang serius dan perlu dikawal sebelum ia memberikan kesan kepada manusia pada skala yang lebih besar lagi. Gunakanlah ubatan sebaiknya mengikut aturan dan elakkan pembaziran ubat. Sekiranya terdapat ubat-ubatan yang perlu dilupuskan, anda bolehlah mendapatkan nasihat dari mana-mana ahli farmasi atau pulangkan semula ubat yang berlebihan ke farmasi.

Rujukan:

  1. Toxicity of diclofenac to Gyps vultures. Garry E Swan et al. Biol Lett. 2006 Jun 22; 2(2): 279–282.
  2. Predicted exposures to steroid estrogens in U.K. rivers correlate with widespread sexual disruption in wild fish populations. Jobling S et al. Environ Health Perspect. 2006 Apr;114 Suppl 1:32-9.
  3. https://www.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/290542/sw2-014-tr-e-e.pdf
  4. http://www.ntn.org.au/wp/wp-content/uploads/2015/05/NTN-Pharmaceutical-Pollution-in-the-Environment-2015-05.pdf
All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly