Return to site

Farmasi Komuniti - Bukan Sekadar Kedai Ubat

Artikel istimewa sempena World Pharmacist Day 2016. Artikel ini disumbangkan oleh Nadia Denise Ibrahim, Ahli Farmasi Komuniti anda.

Jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Aunty Ming, seorang pelanggan setia di farmasi saya masih lagi melihat-lihat pilihan minyak angin yang ada di rak. Aunty Ming sudah berumur 65 tahun, kaki beliau sering lenguh-lenguh akibat berbasikal setiap hari. Ubat-ubatan darah tinggi dan kencing manis beliau telah saya sediakan mengikut preskipsi yang dibawanya.

Selepas selesai memilih, beliau pun berjumpa saya semula di kaunter.

“Aunty nak periksa tekanan darah dan gula boleh tak Nadia? Kali terakhir aunty periksa bulan lepas sewaktu berjumpa doktor di klinik. Risau pulak dah lama tak periksa. 2-3 hari ni aunty selalu rasa pening dan berdebar.”

“Boleh Aunty, mari saya periksa.”

Saya mengambil set pemeriksa tekanan darah. “Cuff” set tersebut saya pasangkan di tangan kiri Aunty Ming dengan kemas. Setelah beliau tenang, saya pun menekan butang di mesin. Setelah beberapa saat, keluar bacaan di paparan mesin. 113/80. Normal.

“Tekanan darah bagus aunty. Sangat baik. Kita baca kandungan gula pula ye”

Hujung jari tengah Aunty Ming saya sapukan dengan ‘alcohol swab’. Saya setkan alat untuk mencucuk jari.

“Saya cucuk jari ye aunty, sakit sikiiiiiit je”

Darah yang keluar terus saya titiskan di strip ujian yang telah disambungkan di mesin bacaan gula. Aunty Ming berdebar menunggu bacaan diproses. 3.8 mmol/l!

“Aunty, gula dalam darah rendah sangat ni. Patutlah aunty selalu pening dan berdebar. Aunty rehat kejap, saya beri aunty biskut untuk aunty makan”

Sambil Aunty Ming berehat, saya menyemak semula preskripsi yang diberi dengan rekod ubat yang saya simpan. Semuanya sama, cuma saya lihat ada perubahan dos pada satu jenis ubat kencing manis yang diberi. Mungkin ini yang menyebabkan Aunty Ming mengalami hypoglisemia (kekurangan gula dalam darah).

Saya mula menulis surat rujukan kepada doktor. Saya catatkan nama Aunty Ming, umur, bacaan tekanan darah dan paras gula yang baru saya periksa. Dalam surat tersebut, saya tuliskan nota meminta doktor yang merawat melihat semula dos yang diberikan kepada Aunty Ming kerana berkemungkinan perubahan dos tersebut menyebabkan paras gulanya terlalu rendah.

Selang beberapa minit, Aunty Ming bangun. Wajahnya tidak lagi pucat.

“Aunty dah ok? Pening lagi tak?”

“Dah tak pening lagi Nadia, rasa kuat sikit dah”

“Baguslah macam tu. Aunty, hari ni tak perlu beli ubat dulu. Aunty ambil preskipsi ni semula, dan surat yang saya tulis. Esok pagi-pagi aunty pergi balik ke klinik. Tunjukkan surat ni kepada doktor. Nampak macam dos ubat kencing manis yang baru ni kurang sesuai dengan aunty. Sebab tu aunty selalu pening. Besok bila doktor beri preskipsi yang lain, baru datang semula ke sini.

“Baiklah Nadia. Terima kasih”

“Aunty boleh ke balik naik basikal ni? Tunggulah sekejap. Saya pun dah nak tutup farmasi ni. Saya tolong hantar aunty balik”

Mata Aunty Ming saya lihat mula bergenang dengan air mata.

“Terima kasih Nadia selalu ambil berat pasal aunty. Aunty sakit Nadia yang risau. Aunty sihat, Nadia yang happy. Aunty tak tahu macam mana nak terima kasih pada Nadia lagi”

“Aunty, ini memang tanggungjawab saya. Aunty datang ke farmasi saya, saya mesti pastikan Aunty sihat. Saya bukan nak ambil duit aunty je. Haha.” Saya cuba berseloroh untuk menghilangkan rasa sebak yang saya juga rasa.

Menjadi seorang ahli farmasi di komuniti bukanlah semudah yang disangka. Bukan keuntungan yang dicari semata-mata. Sebenarnya kepuasan berkhidmat kepada masyarakatlah yang membuatkan saya terus bersemangat untuk menjadi seorang ahli farmasi.

Farmasi komuniti bukanlah sekadar kedai ubat. Ia bukan tempat untuk pelanggan mencari ubat dengan harga murah semata-mata. Kadang-kadang saya berasa kecil hati apabila sesetengah pesakit membanding-bandingkan harga di antara farmasi. Agak sedih apabila masyarakat hanya pada nilai wang ringgit dan bukannya khidmat profesional yang diberikan.

Farmasi komuniti adalah tempat yang paling mudah dikunjungi dan paling mudah bagi rakyat untuk mendapatkan khidmat profesional kesihatan. Disamping menjual ubat-ubatan & supplement, barangan kesihatan, barangan penjagaan pesakit & bayi, kosmetik serta peralatan perubatan seperti kerusiroda dan sebagainya, ahli farmasi sebenarnya membekalkan khidmat konsultansi berkaitan penjagaan farmaseutikal kepada anda. Perkhidmatan inilah yang sepatutnya menjadi tunjang kepada kewujudan farmasi-farmasi komuniti.

Perkhidmatan kaunseling berhenti merokok, peningkatan kepatuhan ubat, pengurusan kesan sampingan ubat, pemeriksaan ubat tulen dan berdaftar, pemantauan kesihatan, kaunseling ubat-ubatan, penjagaan kulit dan pengurusan ubat-ubatan di rumah adalah antara servis yang disediakan oleh kebanyakan farmasi komuniti di Malaysia. Adalah sesuatu yang merugikan sekiranya perkhidmatan-perkhidmatan ini tidak digunakan oleh rakyat Malaysia.

Afli farmasi akan sentiasa bersedia untuk melayan soalan-soalan anda berkaitan ubat-ubatan. Sekiranya anda keliru tentang ubat-ubatan anda, bawa semua ubat-ubatan ke farmasi komuniti untuk disemak oleh ahli farmasi. Anda ingin tahu samaada jamu yang anda ambil boleh dimakan bersama ubat-ubatan yang diberi doktor? Ingin tahu ubat yang disimpan di rumah masih boleh digunakan? Ingin tahu krim yang anda beli melalui facebook berbahaya atau selamat? Jumpa sahaja ahli farmasi di farmasi komuniti berhampiran anda.

Selain itu, kewujudan farmasi komuniti di hampir setiap kawasan kejiranan memungkinan farmasi komuniti digunakan sebagai barisan pertama penjagaan kesihatan masyarakat. Pelanggan yang datang membeli supplemen atau alatan kadangkali didapati mempunyai paras gula atau tekanan darah yang tidak normal sewaktu disaring. Kes-kes pesakit yang tidak tahu tentang status kesihatan diri seperti ini akan dirujuk kepada doktor untuk rawatan dimulakan. Ini memungkinkan liputan rawatan terhadap penyakit tidak berjangkit diluaskan kepada mereka yang memerlukan.

Saya yakin ahli farmasi komuniti boleh memberikan impak yang tinggi dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat sekiranya masyarakat menggunakan sepenuhnya perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan. Saya dan rakan-rakan yang lain akan sentiasa bersedia menyumbangkan pengetahuan dan khidmat profesional kami kepada masyarakat. Semoga usaha-usaha kami ini mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly