Return to site

Durian Boleh Membutakan Mata

Pada satu hari, Ali dan Minah menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Di dalam keretapi tersebut, mereka diberikan seorang sebiji durian. Secara kebetulan, seumur hidup mereka, mereka tidak pernah melihat buah durian. Oleh itu mereka sangat teruja untuk merasai keenakan buah tersebut.

“Sayang, u jangan makan buah ni dulu. Biar I rasa dulu. Manalah tahu buah ni pahit dan beracun. Biarlah I yang mati dulu”, kata Ali.

Minah bersetuju. Ali pun membuka buah durian dengan rakusnya. Sewaktu Ali menggigit buah tersebut, secara kebetulan keretapi melalui sebuah terowong yang amat gelap. Secara tiba-tiba Ali menjerit.

“Sayang, jangan makan durian tu! Buah durian ni buat kita jadi buta”

Cerita pendek ini pasti nampak lucu bagi kita kerana kita tahu yang menggelapkan pandangan Ali adalah terowong yang dilalui dan bukannya durian yang dimakan.

Walaupun lucu, cerita ini sebenarnya mengajar kita bagaimana persepsi kita ke atas sesuatu perkara boleh menyebabkan kita melakukan kesimpulan yang tidak tepat.

Contohnya, para perawat yang menggunakan bahan yang tidak mempunyai asas saintifik dalam perubatan untuk merawat bermacam jenis penyakit.

Dan kadangkala apabila ‘rawatan’ mereka mendatangkan hasil, mereka hebat mencanangkan keberkesanan bahan yang mereka gunakan. Namun apakah dapat dibuktikan samaada keberkesanan itu disebabkan oleh bahan tersebut (durian) atau faktor-faktor lain (terowong).

Adakah perawat-perawat tersebut mempunyai disiplin ilmu yang jelas untuk menilai keberkesanan rawatan? Berupayakah mereka memahami kesan-kesan rawatan yang diberikan samaada positif atau negatif? Adakah mereka boleh menerangkan risiko rawatan? Yakinkah mereka tentang dos yang selamat mengikut umur, keadaan dan tahap penyakit? Adakah rawatan tersebut akan berkesan kepada semua?

Kefahaman tentang ilmu merawat sesuatu penyakit perlu datang dengan pembelajaran dan hasil kajian mengikut disiplin-disiplin ilmu yang betul. Jika tidak, minda dan pemikiran kita akan terjerat dan terkongkong sperti kisah Ali dan Minah tadi.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly